Pages

Thursday, January 5, 2012

Iran makin terdesak: AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menolak ancaman Iran untuk menutup Selat Hormuz dan menyifatkannya sebagai tindakan terdesak kerajaan Iran yang semakin lemah dan terpencil.

Dalam pada itu, Washington berkata, ia tidak berhasrat untuk mencetuskan konfrontasi dengan Teheran.


Ketegangan semakin meningkat berhubung laluan penting minyak mentah dari Asia Barat itu ketika Iran mengancam menutup selat itu atau menyerang kapal tentera laut Amerika jika kerajaan Barat melaksanakan sekatan terbaru ke atasnya, berkait dengan program nuklear republik Islam berkenaan.

Tentera Republik Islam sebelum ini memberi amaran ia mungkin tidak akan membenarkan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat kembali ke Teluk menerusi Selat Hormuz.


Namun, Pentagon menegaskan, ia tidak merancang mengundurkan kapal perangnya dari rantau berkenaan.


“Tidak ada seorang pun dalam kerajaan yang mahu mencetuskan konfrontasi berhubung Selat Hormuz. Adalah penting untuk meredakan ketegangan,” kata Setiausaha Akhbar Pentagon, George Little kepada wartawan.

Rumah Putih dan Jabatan Negara bagaimanapun masih bersikap tegas dengan berkata reaksi republik Islam itu menunjukkan tekanan dan sekatan Barat memberi kesan.


“Amaran terbaru Iran menggambarkan ia dalam kedudukan yang lemah,” kata jurucakap White House, Jay Carney.

Beliau memberitahu wartawan, ancaman Iran itu menunjukkan negara itu sudah menerima kesan daripada sekatan yang dikuatkuasakan.


Menurutnya, pemimpin Iran tertekan kerana mereka gagal memenuhi tanggungjawab antarabangsa berhubung program nuklear negara itu yang didakwa Barat bertujuan untuk menghasilkan senjata atom.


“Kami melihat ancaman Teheran itu sebagai bukti bahawa tekanan antarabangsa sudah mula memberi kesan dan mereka merasakan semakin terpinggir,” kata jurucakap Jabatan Negara, yang semakin Jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland.


Menurutnya, pemimpin Iran berusaha mengalihkan tumpuan rakyat negara itu daripada kesukaran yang mereka hadapi, termasuk kesukaran ekonomi akibat daripada sekatan itu.


Ketua Tentera Iran semalam memberi amaran, kapal pengangkut pesawat Amerika, USS John C Stennis supaya tidak kembali ke Teluk.


Kapal itu belayar dari pangkalannya di Bahrain menerusi Selat Hormuz minggu lalu dan kini berada di Laut Arab untuk memberi sokongan udara kepada pasukan Nato di Afghanistan.


Setakat ini tidak jelas bila kapal itu dan kapal perang yang mengiringinya akan belayar semula menerusi selat berkenaan. - AP

myMetro | Iran makin terdesak: AS:

'via Blog this'

No comments: