TEHERAN 10 Jan. - Iran sudah memulakan proses pengayaan uranium, jauh di dalam sebuah gunung dan mahkamah negara ini, semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang warga Amerika Syarikat (AS) kerana menjadi pengintip Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Kedua-dua tindakan Iran itu membangkitkan kemarahan kuasa Barat dan menjejaskan harapan usaha diplomasi untuk mengelakkan sekatan lanjut ke atas Teheran atau mengelak perang daripada meletus.
Aktiviti pengayaan uranium di dalam kubu bawah tanah Fordow dekat bandar suci Syiah, Qom itu disahkan semalam oleh seorang pegawai Iran di sini dan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berpangkalan di Vienna.
Iran mendakwa program nuklearnya adalah untuk kegunaan awam, tetapi Barat percaya objektif sebenarnya adalah untuk membina senjata nuklear.
Keputusan Republik Islam itu untuk menjalankan aktiviti pengayaan uranium jauh di dalam kubu bawah tanah adalah bagi menyukarkan tentera AS atau Israel untuk mengebom kubu itu.
Ini bermakna kedua-dua negara sekutu itu mungkin tidak mahu berlengah-lengah lagi untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran dan sekali gus menjadikan usaha diplomasi bagi mengelakkan serangan menjadi semakin terhad.
Jabatan Negara AS menggambarkan proses pengayaan uranium di Fordow sebagai tindakan yang memburukkan lagi 'pencabulan berterusan' Iran terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kesatuan Eropah (EU) dijangka mempercepatkan mesyuarat Menteri-Menteri Luarnya kepada 23 Januari ini iaitu seminggu lebih awal bagi memutuskan sekatan ke atas minyak Iran.
Perancis menuntut langkah-langkah paling meluas dan ketat dikenakan terhadap Teheran.
Selain Perancis, Jerman dan Britain turut mengecam Iran.
Hukuman mati ke atas Amir Mirza Hekmati, 28, seorang bekas jurubahasa tentera AS yang lahir di Arizona dan memiliki dwikerakyatan, memarakkan lagi kemarahan Washington, yang menafikan dia seorang pengintip dan menuntut Amir dibebaskan segera.
Dua langkah Iran itu diambil ketika sekatan baru AS ke atas Teheran berikutan program nuklearnya dan menyebabkan ekonominya terjejas teruk. - REUTERS
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment