BEIJING 10 Jan. - China mendakwa strategi pertahanan baru Amerika Syarikat (AS) yang difokuskan terhadap rantau Asia Pasifik sebenarnya bertujuan untuk membendung kebangkitan negara ini.
Dakwaan dalam akhbar Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) hari ini menandakan amaran paling keras Beijing setakat ini terhadap strategi baru Pentagon yang diumumkan minggu lepas.
Bagaimanapun, komentar dalam Liberation Army Daily itu juga berkata, China tidak harus panik tetapi perlu bertindak balas sewajarnya terhadap strategi baru AS dengan mengambil langkah 'berjaga-jaga' dan menjalankan diplomasi pintar.
"AS mahu menempatkan bala tenteranya di seluruh rantau Asia Pasifik awal-awal lagi bagi membendung kebangkitan China," menurut komentar oleh Mejar Jeneral Luo Yuan itu.
Kenyataan Washington bahawa fokus semula tentera AS terhadap Asia bukan ditujukan kepada China 'hanya menjadikan niat sebenar mereka bertambah ketara', katanya.
"Jika kita memerhatikan perkembangan di sekeliling, kita boleh melihat AS sedang mengukuhkan lima perikatan utama tenteranya di Asia Pasifik, di samping melaraskan kedudukan lima kelompok pangkalan utama tenteranya, sambil meminta hak untuk memasuki lebih banyak pangkalan tentera di seluruh China.
"Siapa boleh percaya semua itu tidak ditujukan terhadap China, dan bukankah ini menandakan kembalinya mentaliti Perang Dingin?" tulis jeneral itu.
Luo dikenali kerana pandangannya yang agresif, sering kali disiarkan dalam akhbar popular di China dan dalam Internet.
Namun penyiaran komentarnya dalam akhbar Liberation Army Daily, yang ditapis rapi sebagai akhbar utama tentera China, membayangkan pandangan terbarunya itu mendapat sokongan kerajaan. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment