Pages

Friday, November 25, 2011

Pilihan raya tetap diteruskan



Seorang penunjuk perasaan membawa bendera Mesir ketika polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata semasa pertempuran di jalan raya menuju ke Kementerian Dalam Negeri, berhampiran Dataran Tahrir di Kaherah, kelmarin. – REUTERS


KAHERAH 24 Nov. – Majlis tentera Mesir berkata, rakyat negara ini perlu memberi tumpuan kepada pilihan raya Parlimen yang bermula minggu depan, membayangkan ia tetap diteruskan seperti yang telah dijadualkan pada 28 November ini walaupun pergolakan semakin berleluasa.

Tentera Mesir turut menolak permintaan penunjuk perasaan yang mahukan mereka menamatkan penguasaan kerana tindakan berundur adalah umpama mengkhianati kepercayaan rakyat.

Sementara itu, pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis anti-rusuhan Mesir terhenti buat pertama kalinya malam tadi, walaupun Dataran Tahrir masih diduduki dan kumpulan protes berjanji tidak akan berganjak sehinggalah tentera menyerahkan kuasa.

“Kami mahu menghentikan pertempuran ini kerana ramai yang telah terkorban. Mereka hanya anak-anak muda yang membaling batu ke arah polis,” kata seorang penunjuk perasaan, Osama Abu Seree, 30.

Pertempuran terhenti di Dataran Tahrir dan beberapa tempat lain selepas penunjuk perasaan mencapai persetujuan dengan polis untuk kekal di dataran di tengah Kaherah itu.

“Dia berambus, kami menang,” menurut satu sepanduk yang merujuk kepada Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Mansour el-Essawy membentangkan satu laporan kepada majlis tentera mencadangkan penangguhan pilihan raya Parlimen yang dijadualkan pada 28 November ini, lapor televisyen Al Jazeera hari ini.

Pilihan raya yang dijadual pada Isnin ini itu adalah pilihan raya bebas pertama Mesir dalam tempoh beberapa dekad.

Pihak tentera dan Ikhwan Muslimin, mahu pilihan raya itu diteruskan, tetapi kebanyakan penunjuk perasaan tidak meletakkan kepercayaan kepada tentera untuk memastikan ia berjalan dengan adil dan tulus.

Kira-kira 40 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya Parlimen ini sejak penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu.

Pengundi akan memilih seramai 498 anggota Dewan Rendah dan Parlimen, manakala 10 anggota lagi akan dilantik oleh Tantawi.

Satu pertiga daripada anggota itu akan dipilih berdasarkan calon individu, sementara dua pertiga lagi akan menggunakan sistem senarai seimbang.

Dalam pilihan raya itu, Mesir yang mempunyai 27 wilayah akan dibahagikan kepada tiga pusingan di mana setiap pusingan dijarakkan seminggu. – Ap/REUTERS/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: