Pages

Friday, November 25, 2011

Petani jadi tuan ladang tebu Aquino

MANILA: Mahkamah Tinggi Filipina semalam mengarahkan ladang tebu yang dikawal keluarga bekas Presiden, Corazon Aquino diserahkan kepada lebih 6,000 peladang yang sudah bertahun bekerja di situ.

Arahan itu dianggap kemenangan bagi peladang miskin yang sekian lama bergelut untuk memecahkan cengkaman keluarga politik berpengaruh ke atas tanah pertanian di negara itu.
“Sudah 50 tahun kami berusaha dan ini adalah kejayaan bukan saja kepada peladang tetapi ramai lagi yang dalam keadaan serupa. Arahan ini memberikan harapan kepada ribuan peladang yang berterusan ditindas bahawa mereka juga boleh memiliki ladang sendiri suatu hari nanti,” kata peguam peladang berkenaan, Romeo Capulong.
Bagaimanapun, Capulong berkata, beliau menjangkakan saudara mara Aquino akan memfailkan rayuan supaya tiada pengagihan tanah di ladang dikenali sebagai Hacienda Luisita sehingga kes itu dianggap muktamad.

Dalam sistem perundangan Filipina, rayuan boleh dilakukan terhadap arahan yang dikeluarkan mahkamah tertinggi dan kes Hacienda Luisita mungkin berlanjutan bertahun-tahun.

Dalam arahan setebal 54 muka surat yang disiarkan di laman webnya, Mahkamah Agung menyebelahi tuntutan peladang untuk memiliki tanah sendiri berbanding terus bekerja sebagai buruh bergaji seperti dirancang keluarga Aquino.

Ia mengarahkan ladang seluas 4,915.7 hektar itu diagihkan kepada 6,296 peladang dan keluarga mereka yang bekerja di situ sejak lebih 50 tahun.
Perbalahan berhubung pemilikan ladang itu membolehkan pengkritik Aquino menggambarkan keluarga presiden popular itu sebagai dinasti politik yang tamak. – AFP
Berita Harian Online | Petani jadi tuan ladang tebu Aquino:

'via Blog this'

No comments: