Pages

Friday, November 25, 2011

Persandingan gemilang anak Susilo-Hatta di Jakarta



Bagai pinang dibelah dua, Edhie 'Ibas' Baskoro Yudhoyono bersama isterinya, Siti Rubi Aliya Rasaja. - AGENSI


JAKARTA 24 Nov. - Dengan hanya sekali lafaz, anak Presiden Susilo, Edhie 'Ibas' Baskoro Yudhoyono sah menjadi suami kepada Siti Rubi Aliya Rasaja.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Menteri Koordinasi Ekonomi, Hatta Rajasa pada pukul 10.15 pagi hari ini di Istana Cipanas, Cianjur, Jawa Barat.

Upacara pernikahan itu dipimpin oleh Ketua Pejabat Urusan Agama Cipanas Muhtar dengan disaksikan oleh Naib Presiden Indonesia, Boediono dan bekas Ketua Majlis Perwakilan Rakyat, Amien Rais.

Pada majlis akad nikah itu juga, Ibas menyerahkan wang siling emas seberat 100 gram kelengkapan solat kepada Aliya sebagai mas kahwin.

Ibas yang mengenakan pakaian adat Palembang berwarna merah lancar sewaktu melafazkan akad nikah dalam acara yang turut disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan.

Sejurus selepas itu, Ibas kemudiannya menyentuh kening isterinya dan dibalas ciuman tangan oleh Aliya kepada suaminya itu.

Pasangan pengantin baru itu selanjutnya menandatangani surat nikah sebelum mendengar khutbah pernikahan yang disampaikan oleh Prof. Dr. Arief Rahman.

Sebelum memasuki ruang akad nikah, Ibas diiringi oleh ayahnya, Presiden Susilo dan ibunya, Ani Yudhoyono menjalani proses Kandang Adat dengan diiringi muzik tabuh Agung.

Tabuh agung merupakan iringan muzik gamelan dengan kelengkapan alat muzik berupa kenong, gong, ketawek, kolintang, gendang.

Sebelum kedua-dua orang tua Ibas bertemu dengan ibu bapa Aliya, wakil keluarga kedua-dua pihak juga saling bertukar tepak sirih.

Majlis pernikahan itu turut dihadiri oleh anggota Kabinet Indonesia, tokoh politik, perwakilan asing termasuk Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshee Afdzaruddin Syed Hassan.

Pada hari Sabtu ini, pasangan Edhie dan Aliya akan diraikan dalam satu majlis resepsi di Pusat Konvensyen Jakarta. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: