TUKAR TANGAN...(dari kiri) Edry, Yuna dan Anuar Zain pada sidang media rasmi AIM di sebuah hotel, semalam.
KUALA LUMPUR: “Saya terima anugerah ini dengan perasaan janggal kerana ia agak memalukan,” kata penyanyi Anuar Zain yang dinobatkan pemenang baru kategori Lagu Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) selepas berlaku kesilapan di pihak penganjur.
Pengumuman dan penyerahan anugerah untuk lagu Sedetik Lebih dendangan Anuar itu berlangsung pada sidang akhbar khas Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur AIM18 di sini, semalam.
Lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim memenangi kategori Lagu Pop Terbaik ketika AIM18 berlangsung 12 November lalu dan pada malam penganugerahan yang sama, Yuna diumumkan pemenang kategori Lagu Terbaik melalui lagu ciptaannya, Penakut.
Bagaimanapun, semalam Harian Metro menyiarkan pengakuan Yuna bahawa anugerah itu ditarik balik oleh pihak penganjur atas alasan kesilapan teknikal dan RIM turut membuat sidang media rasmi mengenainya semalam menyebabkan anugerah itu kini berpindah tangan kepada lagu nyanyian Anuar.
Anuar berkata, dia menerima anugerah yang diberikan kepadanya kerana menghormati keputusan penganjur, namun pada masa sama menegaskan artis yang terbabit dalam isu kesilapan itu ibarat menjadi mangsa. “Malang perkara ini membabitkan kami. Saya tidak tahu mana hendak letak muka apabila berdepan Yuna. Secara peribadi, perkara ini boleh didiamkan saja. Kalau anugerah dimenangi Yuna tidak ditarik balik dan tidak diberikan kepada Edry pun, saya tak apa. “Saya sudah pun menerima keputusan malam itu (AIM18), tiba-tiba semalam saya mendapat panggilan daripada penganjur yang meminta saya hadir untuk penyerahan anugerah ini. “Saya tidak tahu bagaimana hendak memberikan reaksi, apatah lagi ia membabitkan ramai individu dan sudah tentu kredibiliti penganjuran AIM dilihat goyah selepas ini,” katanya.
Bagaimanapun, Anuar memuji usaha RIM membetulkan kesilapan, menjelaskannya kepada umum dan bertanggungjawab sepenuhnya.
Anuar berkata, biarpun situasinya janggal dan memalukan ia harus dilakukan agar semua pihak positif dalam melihat kesilapan berlaku. “Apa yang berlaku ini boleh dianggap satu sejarah dan akan diingati sampai bila-bila. Malangnya nama saya turut terbabit. Ingin saya tegaskan saya dan Edry tidak pernah membangkitkan isu kemenangan Yuna atau mahukan siasatan bagaimana perkara ini berlaku. “Ia datang daripada orang luar yang meminta agar pihak penganjur memperbetulkan apa yang tidak betul. Apa-apapun kita harus terima keputusan ini untuk masa depan yang lebih baik. “Kepada Yuna saya sangat menghormatinya kerana masih mampu datang ke sidang akhbar ini. Saya akui dia seorang artis berbakat besar dan saya doakan yang terbaik untuknya,” kata Anuar.
Sementara itu Edry berkata, apabila Yuna diumumkan pemenang anugerah Lagu Terbaik, dia langsung tidak memikirkan berlaku kesilapan teknikal sehingga kemenangan itu harus ditarik balik. “Kami rasa bersalah. Sebagai artis sudah tentu kami ada maruah, namun saya hormati Yuna atas keberaniannya dan begitu tenang menerima keputusan RIM. Kepada penganjur pula saya hormati kesungguhan mereka memperbaiki kesilapan dan menerima maklum balas apabila ditegur ramai pihak secara berhemah.
“Jika perkara ini dibincangkan dalam forum khas juga bagus, sekurang-kurangnya keputusan diperoleh boleh membawa satu perubahan yang baik. Semua orang melakukan kesilapan namun diharapkan ia tidak berulang,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment