Susilo nafi perkahwinan anak berunsur politik

JAKARTA - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, kelmarin menafikan majlis perkahwinan anak lelaki bongsunya, Edhie Baskoro adalah untuk membentuk ‘gabungan cinta’ antara Parti Demokratik pimpinannya dengan Parti Amanat Nasional (Pan).

Hari pertama majlis perkahwinan selama tiga hari antara Edhie dengan Siti Ruby Aliya, anak perempuan kepada pemimpin parti Pan, Hatta Rajasa bermula, kelmarin.

Spekulasi ‘gabungan cinta’ itu mula tersebar luas selepas perkahwinan kedua-dua anak pemimpin tersebut didakwa bertujuan menyokong Hatta sebagai calon presiden pada 2014 kerana Parti Demokratik tidak mempunyai calon yang dilihat berkebolehan untuk menggantikan Susilo selepas penggal pemerintahannya tamat.

Bagaimanapun, Susilo menafikan dakwaan itu dan menegaskan Edhie memilih calon isterinya dengan sendiri tanpa melibatkan apa-apa kepentingan politik kedua-dua belah pihak.

Dalam satu kenyataan, timbalan pemimpin Parti Demokratik, Max Sopacua turut menafikan spekulasi tersebut dan menekankan perkahwinan Edhie dan Aliya tidak ada kena mengena dengan gabungan politik di negara itu.