Pages

Wednesday, August 3, 2011

Kediaman Mukesh disiasat

MUMBAI: Lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani berkemungkinan disiasat badan persekutuan mengenai pembinaan kediaman mewah 27 tingkat miliknya - salah satu kediaman persendirian paling mahal di dunia.
Kerajaan negeri Maharashtra menimbangkan sama ada penyiasat persekutuan perlu memeriksa fakta yang mengelirukan mengenai penjualan tanah di mana kediaman itu dibina, lapor media India, semalam. Pengerusi syarikat Reliance Industries itu, yang menurut majalah Forbes adalah lelaki kesembilan terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai AS$27 bilion (RM71 bilion), berpindah ke menara setinggi 174 meter itu tahun lalu. Menara Antilia, yang terletak di kawasan kediaman mewah, di Jalan Altamount dilaporkan mempunyai ruangan parkir enam tingkat, beberapa kolam renang, dewan tari-menari, panggung wayang dan tiga landasan helikopter. Menteri Hal Ehwal dan Wakaf Maharashtra, Mohammed Arif Naseem Khan memberitahu Dewan Undangan Negeri, semalam bahawa kawasan seluas 4,532 meter persegi itu asalnya adalah tanah rizab untuk tujuan pendidikan kanak-kanak Islam.

Mengikut undang-undang Islam, wakaf bermakna hartanah atau tanah yang disimpan untuk tujuan keagamaan atau kebajikan.

Menurut Mohammed Arif, tanah itu dijual kepada Ambani oleh Yayasan Amanah Anak Yatim Currimbhoy Ebrahim Khoja dengan harga $4.77 juta (RM14.3 juta) pada 2002. Perjanjian jual beli itu diluluskan Suruhanjaya Kebajikan Mumbai tetapi Mohammed Arif berkata, keizinan tidak diperoleh Lembaga Wakaf Negeri Maharashtra, yang menguruskan penyelenggaraan dan pentadbiran hartanah wakaf.

- AFP
http://www.hmetro.com.my

No comments: