Pages

Wednesday, August 3, 2011

Penjara akibat buat laporan palsu diragut

KANGAR – Gara-gara ingin mengelak denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad, seorang suri rumah menghadapi kemungkinan dihukum penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Semuanya kerana dia membuat laporan palsu kononnya diragut oleh dua lelaki di sini pada pagi Ahad lepas menyebabkan dia kehilangan buku bank, surat pajak gadai, wang tunai RM5 dan MyKad.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin berkata, kerana membuat laporan palsu wanita berusia 55 tahun itu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman tersebut.
Abdul Rahman berkata, polis telah menyiasat kes itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan mendapati kejadian itu tidak berlaku pada masa dan tarikh yang dinyatakan.
Wanita itu akhirnya mengaku dokumen itu tercicir.
"Kami memandang serius perkara ini (laporan palsu). Ini bukan kes pertama laporan palsu berkaitan kehilangan MyKad. Sejak awal tahun ini sudah ada tiga kes termasuk kes terbaru Ahad lalu,” kata Abdul Rahman di pejabatnya hari ini. – Bernama
kosmo

No comments: