Pages

Sunday, December 18, 2011

Taktik menipu tiada maruah

KUALA LUMPUR: Taktik menipu menggunakan Facebook, blog atau apa saja dalam talian oleh segelintir masyarakat, baik lelaki mahupun wanita, dianggap tindakan tidak bermaruah oleh pakar psikologi, Khairol Anuar Masuan.
“Sesiapa saja boleh menyamar, menipu atau melakukan apa saja sebebas-bebasnya dengan mudah kerana tiada siapa dapat mengesan penipuan yang dilakukan.

“Bahkan, kalau seseorang itu menguasai banyak bahasa, misalnya bahasa Inggeris, Perancis dan lain-lain, kemungkinan langkahnya semakin panjang untuk melakukan penyamaran dan penipuan.

“Penipuan dilakukan segelintir wanita untuk meraih wang dan mereka dianggap pisau cukur kerana suka mengambil kesempatan mendapatkan harta orang lain. Kebijaksanaan menggunakan ‘ayat power’ sehingga mampu mencairkan hati lelaki adalah kelebihan mereka.

“Namun menggunakan kelebihan untuk menipu atau salah guna kebijaksanaan yang dianugerahkan dianggap tidak bijak dan menyalahi etika sosial dan agama.

“Jika lelaki yang terkena itu mahukan sesuatu daripada gadis berkenaan untuk tujuan tidak baik, ini ibarat buku bertemu ruas,” kata pemilik K & A Applied Psychology Consultancy yang memiliki Ijazah Kaunseling dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat itu.

Khairol mengakui kes seperti ditipu melalui laman sosial semakin banyak, malah golongan muda mudah tertipu dengan kata-kata manis atau gambar menarik kerana kurang berhati-hati.

“Apapun, kita kena berpegang kepada adat resam ketimuran dan agama kerana menipu membabitkan etika hidup. Walaupun tahu semua orang bebas menggunakan Facebook sebagai medium untuk berkomunikasi, seharusnya ia tidak digunakan sewenang-wenangnya untuk kegiatan tidak bermoral atau berniat jahat,” katanya.
Sementara itu, kaunselor yang juga pakar motivasi, Fauzi Mustaffa meminta gadis yang gemar menggoda lelaki di laman sosial segera bertaubat kerana ia menyalahi agama.

Dia juga harus meminta maaf kepada orang ditipu, di samping membayar balik wang diberikan demi menebus kesilapan sendiri.

“Memang dia harus meminta maaf kepada orang yang ditipu kerana selagi tidak bertaubat, ia tidak akan diterima. Moralnya, jika berdosa dengan Allah SWT kita disaran meminta ampun, tetapi berdosa dengan manusia wajib meminta maaf dengan empunya diri. Selagi dia tidak memaafkan, selagi itu segala ibadat atau kebaikan tidak diterima Allah.

“Pembohongan dan penipuan termasuk dalam enam dosa besar sebagaimana kehendak Nabi Muhammad SAW,” katanya yang menyelar sikap mereka yang suka melakukan penipuan sebagai manusia bermasalah.

Fauzi berkata, jika benar-benar mengalami kesusahan, ada saluran betul untuk mendapatkan bantuan memandangkan kerajaan ada pelbagai badan untuk menyediakan bantuan seperti Pusat Zakat mahupun Baitulmal.
-HMETRO

No comments: