Pages

Sunday, December 18, 2011

Mangsa asid azab


REDA... Mahyuddin menunjukkan kesan simbahan cuka getah oleh isterinya dalam kejadian Ogos lalu.
REDA... Mahyuddin menunjukkan kesan simbahan cuka getah oleh isterinya dalam kejadian Ogos lalu.

KOTA BHARU: “Semua yang berlaku sudah suratan takdir dan isteri sekadar menjadi penyebabnya,” kata Mahyuddin Abdullah, 47, yang menjadi mangsa simbahan cuka getah oleh isterinya dalam kejadian di Kampung Kok Lanas, di sini, Ogos lalu.
Akibat kejadian itu, Mahyuddin yang sebelum ini berniaga murtabak di pasar malam sekitar Kok Lanas, dekat sini, menanggung azab apabila muka dan separuh badannya melecur, manakala mata kanannya pula buta.

Difahamkan, sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan II (HRPZ II), sudah tiga pembedahan dilakukan termasuk pembedahan pemindahan kulit dan telinga, sebelum disusuli pembedahan mata kanan oleh pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Mahyuddin berkata, kehidupannya berubah selepas kejadian berkenaan kerana selain cacat, pergerakannya terbatas sehingga terpaksa mendapatkan bantuan keluarga dalam menguruskan dirinya.

“Saya tidak pernah menyimpan dendam terhadap isteri walaupun terseksa menanggung derita akibat perbuatannya. Sebagai suami, saya tidak berhak membalas perbuatannya dan biarlah Tuhan mengadilinya.

“Saya juga perlu muhasabah diri untuk menjadi insan lebih baik. Dalam keadaan sekarang, hanya keluarga menjadi punca kekuatan saya untuk meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Sireh Bawah Lembah, dekat sini.

Ditanya mengenai hubungan dengan isterinya, sehingga hari ini, Mahyuddin mengakui mereka masih suami isteri tetapi tidak pasti apa akan berlaku pada masa akan datang.

“Selepas kejadian itu, kami tidak pernah berjumpa dan saya hanya berkesempatan bertemu seorang anak perempuan berusia 15 tahun,” katanya yang mengakui dirinya tidak membuat sebarang laporan polis atas tindakan isterinya.
Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, dia tidak mahu mengingati sejarah hitam berkenaan dan biarlah ia disimpan sebagai kenangan berharga.

Katanya, kesan cuka getah yang disimbah oleh isterinya menyebabkan dia menderita kerana bahan berkenaan membuatkan tubuhnya panas, selain melecur dan meninggalkan kesan terbakar.

“Masih saya ingat, ketika pertama kali cuka getah dicurah ke kepala, ia terasa sejuk. Bagaimanapun, mata mula pedih ketika ia meleleh ke muka dan badan, menyebabkan saya bergegas ke bilik air.

“Dalam tempoh beberapa minit, seluruh tubuh saya menjadi terlampau panas dan azabnya sukar digambarkan dengan perkataan,” katanya.

Mahyuddin berkata, kejadian berkenaan berlaku di dapur rumahnya ketika sibuk membuat persiapan untuk berniaga murtabak di bazar Ramadan.

Dia kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kok Lanas oleh biras serta seorang kenalannya sebelum dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Keadaan saya tidak begitu teruk ketika itu dan boleh makan sendiri pada hari pertama dan kedua dirawat, namun pada hari ketiga kesan simbahan cuka getah menjadi teruk kerana muka saya terbakar dan ia memamah kulit saya secara perlahan-lahan.

“Setakat ini empat kali saya menjalani rawatan, termasuk tiga daripadanya pembedahan di HRPZ II membabitkan dua pembedahan plastik serta pembedahan telinga kanan akibat bernanah,” katanya.

Menurutnya, susulan tiga pembedahan itu, dia kemudian dibawa mendapatkan rawatan daripada pakar mata di HUSM Kubang Kerian dan menjalani pembedahan keempat di hospital berkenaan.

“Disebabkan pihak HRPZ II tidak cukup kepakaran, kes mata saya dirujuk ke HUSM, Kubang Kerian. Walaupun mata kanan buta, tetapi Alhamdulillah, pandangan mata kiri saya masih nampak antara 30 hingga 40 peratus.

“Saya dinasihatkan supaya meletakkan ubat titis di mata kanan sekerap mungkin untuk mengelak dijangkiti kuman. Mungkin saya akan menjalani beberapa lagi pembedahan selepas ini, termasuk di bahagian mata,” katanya.

Mahyuddin berkata, bagi memastikan kulit kedua-dua paha yang ditampal pada bahagian depan, belakang badan dan lengan tidak membengkak, dia terpaksa memakai baju khas yang dibekalkan hospital.

“Baju itu sangat penting untuk mangsa cuka getah seperti saya, terutama bagi mengelak kulit membengkak, manakala topeng khas yang digunakan untuk melindungi muka juga dibuat pihak hospital dan menunggu masa untuk disiapkan,” katanya.

Pada 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan, seorang peniaga murtabak disimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah oleh isterinya selepas mereka bertengkar. Kejadian pada jam 9.30 pagi itu berlaku ketika Mahyuddin menguli tepung di rumahnya.
-HMETRO

No comments: