Tarikh : December 18, 2011
KUALA TERENGGANU - Lima warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan tidak sempat menikmati hasil samun mereka apabila diberkas kira-kira tiga jam selepas menyamun sebuah sebuah rumah peneroka di Felda Cerul Dua, Kemaman, semalam.
Lelaki tempatan itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan lima lagi suspek, berusia antara 30 dan 48 tahun ditahan empat anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Skim Rondaan Sukarela (SRS) Felda Cerul Dua yang mengekori kereta berkenaan sehingga ke sempadan Pahang pada pukul 6.40 pagi.
"Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Chukai dan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan.
Beliau berkata siasatan polis mendapati lelaki terbabit memecah masuk ke rumah peneroka berkenaan dengan mengumpil tingkap rumah itu.
"Empat daripada rakyat Indonesia yang bersenjatakan parang dan batang besi bertindak mengikat pasangan suami isteri itu menggunakan wayar dan meletakkan parang di leher salah seorang anak mangsa yang berusia sembilan tahun dan mengarahkan menyerahkan wang serta barangan kemas.
"Penjenayah terbabit turut mengugut untuk mencederakan nenek mangsa yang berumur 105 tahun," katanya.
Manoharan berkata keempat-empat mereka bersama dua lagi yang menunggu di dalam kereta melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback dan mereka diekori oleh anggota SRS yang berkawal di pintu masuk ke kawasan Felda itu.
Polis menemui semula barangan kemas, komputer riba dan telefon bimbit membabitkan nilai RM9,000 yang dipercayai disamun dari rumah peneroka berkenaan, serta merampas parang dan batang besi yang disyaki digunakan dalam kejadian samun itu.
No comments:
Post a Comment