ribut

MANILA - Lebih 200 mangsa dilaporkan maut dalam kejadian banjir kilat yang berlaku, selepas ribut tropika Washi membadai selatan Filipina, menurut pegawai kerajaan, semalam.

Datuk Bandar Iligan, Lawrence Cruz berkata, 79 mayat ditemui selepas hampir 12 jam hujan lebat secara berterusan sehingga menyebabkan air sungai melimpah dalam tempoh singkat, sekali gus mencetuskan banjir lumpur yang terhasil daripada kawasan gunung berhampiran.

“Sekurang-kurangnya 150 orang dilaporkan hilang sejak kelmarin selepas taufan melanda di kawasan Mindanao itu. Angka korban juga dijangka akan terus meningkat,” menurutnya.

Rakaman dari televisyen tempatan turut memaparkan banjir lumpur telah memenuhi ke seluruh jalan di selatan negara tersebut.

Peramal kaji cuaca, Raymond Ordinario berkata, ribut tropika Washi membawa angin kencang pada kelajuan 90 kilometer sejam itu adalah taufan ke-19 yang melanda Filipina pada tahun ini.

September lalu, taufan secara berterusan di utara negara tersebut telah meragut 100 nyawa.