NEW YORK 17 Dis. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menarik balik sekatan ke atas Bank Pusat Libya dan sebuah bank pelaburan, membolehkan berpuluh-puluh bilion dolar digunakan bagi membantu pemulihan pembangunan Libya.
Serentak dengan itu, Amerika Syarikat (AS) juga mengumumkan akan menarik balik sekatan ke atas bank sama dan anak syarikatnya melibatkan aset bernilai AS$30 bilion (RM90 bilion).
Britain turut membatalkan pembekuan aset sama bernilai lebih AS$10 bilion (RM30 bilion).
Aset Libya di seluruh dunia bernilai kira-kira AS$150 bilion (RM450 bilion) dibekukan pada Februari lalu selepas Majlis Keselamatan mengarahkan sekatan dikenakan ke atas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang disingkirkan oleh pemberontakan rakyat.
Kerajaan baru Tripoli sejak beberapa minggu lalu meminta supaya sekatan itu ditarik balik bagi membayar gaji dan menyediakan perkhidmatan utama berikutan ancaman kemerosotan ekonomi.
Perdana Menteri, Abdel Rahim al-Kib dan ketua Majlis Peralihan Nasional, Mustafa Abdel Jalil dalam satu surat kepada Majlis Keselamatan berkata, tindakan itu penting untuk kestabilan ekonomi di Libya.
Satu permohonan rasmi untuk menarik balik sekatan itu dibuat minggu lalu dan tidak menerima sebarang bantahan daripada negara anggota Majlis Keselamatan yang membolehkan tindakan pembatalan tersebut dilaksanakan semalam.
Menteri Luar Britain, William Hague berkata, tindakan membatalkan pembekuan tersebut menandakan saat baik dalam peralihan Libya.
"Britian akan memberi tekanan kepada Kesatuan Eropah untuk segera mengambil tindakan sama,'' ujarnya.
White House dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membatalkan hampir semua sekatan ke atas kerajaan Libya dan membebaskan semua aset Libya di bawah perundangan negara itu. - AFP
No comments:
Post a Comment