Pages

Saturday, December 31, 2011

Syria desak ketua misi Liga Arab digugur




Seorang penunjuk perasaan antikerajaan membaling semula gas pemedih mata ke arah pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad di bandar Homs, kelmarin. - AFP


KAHERAH 30 Dis. - Pembangkang Syria hari ini meminta ketua misi Liga Arab berasal dari Sudan yang dihantar bagi memantau pergolakan di negara itu digugurkan daripada misi itu kerana beliau didakwa memegang jawatan tertinggi keselamatan dalam rejim Presiden Omar al-Bashir, yang berdepan dakwaan antarabangsa kerana terlibat dengan pembunuhan kaum di Darfur.
Kontroversi berlegar kepada Leftenan Jeneral Mohamed Ahmed Mustafa al-Dabi yang menimbulkan tanda-tanya, sama ada negara-negara anggota Liga Arab yang mempunyai rekod buruk berhubung hak asasi manusia layak menyertai misi di Syria untuk memantau sejauh mana rejim mematuhi pelan untuk menghentikan tindakan kekerasan oleh tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad terhadap lawan politiknya dan menamatkan pergolakan di negara itu.
Pembangkang Syria juga telah melabelkan misi Liga sebagai sandiwara, dengan menyatakan keganasan tetap berlaku terhadap pemberontak anti-kerajaan di seluruh negara, walaupun pemantau sedang menjalankan tugasnya.
Pegawai rasmi Liga Arab, bagaimanapun berkata, mandat pemantau tersebut bukan membantu menghentikan pergolakan, namun untuk memantau dan melaporkan perkembangan di Syria kepada setiausaha agung liga itu.
Sebanyak 60 pemantau Liga Arab memulakan tugas mereka Selasa lalu, misi pertama dibenarkan oleh Syria sejak pemberontakan tercetus di negara itu sembilan bulan lalu.
Mereka juga akan memastikan rejim mematuhi terma pelan Liga itu bagi menghentikan pemberontakan.
Pelan itu termasuk menghendaki rejim al-Assad menarik balik tentera dan senjata berat dari jalan-jalan utama di negara itu, memulakan rundingan dengan pemimpin pembangkang, membebaskan tahanan politik dan membenarkan pekerja hak asasi manusia serta wartawan memasuki negara itu.
Di Beirut, aktivis pembangkang meminta rakyat berhimpun hari ini bagi menyatakan protes serta menyakinkan pemantau keamanan Liga Arab agar memberi perhatian terhadap keadaan getir yang sedang berlaku di Syria.
Gesaan itu dibuat berdasarkan tindakan pihak berkuasa keselamatan Syria yang menembak mati 25 penunjuk perasaan di negara itu dan yang menyebabkan 100 yang lain tercedera, semalam. - REUTERS
-utusan

No comments: