WASHINGTON 30 Dis. - Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian dengan Arab Saudi untuk menjual 84 jet pejuang F-15 baru bernilai AS$29.4 bilion (RM93.33 bilion) kepada negara Arab itu.
Pentadbiran Presiden AS, Barack Obama semalam berkata, ia merupakan usaha untuk meningkatkan keselamatan di Teluk ekoran peningkatan ketegangan dengan Iran.
Perjanjian itu merupakan jualan senjata AS paling besar kepada negara asing sejak beberapa tahun ini.
Pegawai pentadbiran AS menyifatkan jet pejuang baru itu akan membantu meningkatkan keseluruhan pertahanan Arab Saudi di wilayah tertentu.
''Di Asia Barat sekarang, terdapat sejumlah ancaman. Jelasnya satu ancaman yang dihadapi oleh mereka dan juga negara lain di rantau itu adalah Iran,'' ujar Penolong Setiausaha Negara AS dalam hubungan ketenteraan-politik, Andrew Shapiro.
Perjanjian itu turut melibatkan pembelian pejuang Boeing F-15SA dengan peralatan radar Raytheon Co dan sistem perang elektronik digital di mana pembekal utama adalah BAE Systems Plc.
Perjanjian itu termasuk menaiktaraf jet pejuang F-15 Arab Saudi sedia ada dan Peluru Berpandu Anti-Radiasi AGM-88 HARM, Laser JDM dan perkhidmatan berkaitan.
Perjanjian itu dicapai Sabtu lalu, beberapa hari sebelum Iran mengulangi ancaman untuk menutup Selat Hormuz ekoran sekatan AS dan Eropah berikutan program nuklearnya. - REUTERS
-utusan
No comments:
Post a Comment