Pages

Saturday, December 31, 2011

Tukar MyKad baru 3 Januari



Oleh Haika Khazi

2011/12/31

Kad pengenalan baru dilengkapi perlindungan antisalinan elak pemalsuan

PUTRAJAYA: Orang ramai boleh menukar kad pengenalan lama kepada MyKad baru yang dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk imej turisan laser dan cip tahan lasak, bermula 3 Januari ini. 

Sebagai permulaan, MyKad baru itu boleh dibuat di Ibu Pejabat JPN di sini dan JPN Shah Alam, manakala negeri lain secara berperingkat sehingga 15 Februari depan pada harga RM10.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd Said, berkata MyKad baru itu diperkenalkan selepas jabatannya menerima banyak rungutan daripada orang awam yang mendakwa MyKad yang digunakan sekarang mudah rosak dan mudah dipalsukan.
“Pemalsuan kad pengenalan boleh mengancam keselamatan negara. MyKad baru ini bukan saja tahan lasak kerana diperbuat daripada bahan polikarbonat, malah ia mempunyai lebih banyak ciri keselamatan termasuk imej turisan laser pada permukaan kad dan dilengkapi perlindungan antisalinan bagi mengelakkan pemalsuan,” katanya pada sidang media memperkenalkan MyKad baru itu di sini, semalam. 

Berikutan itu, Jariah berkata, JPN berharap teknologi terbaru dibangunkan untuk kegunaan dokumen pengenalan diri di Malaysia akan menyukarkan usaha pihak tidak bertanggungjawab untuk memalsukan MyKad pada masa depan. 

Bagaimanapun, penggantian kepada MyKad baru tidak diwajibkan kepada pemegang MyKad sedia ada, tetapi orang ramai digalakkan menggantikannya sebagai langkah keselamatan. 

“MyKad terbaru ini menepati piawaian antarabangsa, terutama dari segi spesifikasi ketebalan, panjang, lebar dan kedudukan cip pintar digunakan. Kita menetapkan standard lebih tinggi dari segi pengujian cip pintar dan keadaan fizikalnya,” katanya. 
Jariah berkata, cawangan JPN di negeri lain seperti Kluang dan Ipoh akan mengeluarkan MyKad baru pada 10 Januari, Johor Bahru (14 Januari), Kuantan (15 Januari), Melaka (17 Januari), Kuching dan Kota Bharu (20 Januari), Kuala Terengganu dan Pulau Pinang (29 Januari). 

JPN Alor Setar akan mengeluarkan MyKad baru pada 2 Februari, Miri (6 Februari), Kota Kinabalu dan cawangan lain pada 7 Februari serta cawangan di Wilayah Persekutuan pada 15 Februari. 

No comments: