TRIPOLI - Ribuan pemberontak Libya yang membantu menggulingkan bekas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi akan diserap ke dalam pasukan keselamatan negara bermula bulan depan, menurut Menteri Pertahanan Libya, Osama Al-Juwali.

Pengumuman yang dibuat, kelmarin, itu bakal menguji keupayaan kerajaan sementara Libya untuk memaksa puluhan pemimpin pemberontak menyerahkan kuasa dan melepaskan anggota kumpulan mereka kepada pimpinan kerajaan.

“Kami ingin pejuang revolusi Libya turut serta menjadi sebahagian daripada pasukan keselamatan negara. Penglibatan pejuang yang selama ini diketepikan Gaddafi dapat memberi nafas baru kepada angkatan tentera Libya,” katanya.

Selain itu, kumpulan pemberontak di Libya turut ditawarkan menyertai Kementerian Dalam Negeri yang masih kekurangan pekerja dan digalakkan memohon pekerjaan awam di pejabat kerajaan.

Majlis Peralihan Kebangsaan Libya memberikan pemberontak tarikh akhir, minggu ini, untuk meletak senjata dan keluar dari ibu negara Tripoli.

Namun beberapa kumpu-lan pemberontak masih mengawal bandar raya itu dengan mengawasi lokasi penting serta mendirikan pos kawalan di seluruh bandar.

Ketiadaan pasukan polis dan tentera yang stabil memberikan kebebasan kepada puak-puak pemberontak di Libya untuk melancarkan perang bagi merebut kuasa sesama sendiri selepas pemerintahan selama 42 tahun Gaddafi berjaya ditamatkan, Ogos lalu.