CAGAYAN DE ORO 26 Dis. - Beribu-ribu mangsa banjir kilat di negara ini mungkin terpaksa meneruskan hidup di khemah-khemah sementara bagi tempoh beberapa bulan akan datang, sementara kawasan baru untuk menempatkan mereka dikenal pasti.
Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata, lebih 60,000 penduduk yang hilang tempat tinggal akibat ribut tropika Washi kini ditempatkan di bangunan-bangunan kerajaan termasuk sekolah di bandar Cagayan de Oro dan Iligan.
"Kami tidak sempat membina penempatan baru untuk mereka. Ia akan mengambil masa.
"Buat sementara waktu, mereka akan ditempatkan di khemah-khemah apabila sesi persekolahan bermula pada 3 Januari ini," katanya.
Ramos berkata, mangsa yang terjejas akibat banjir di bandar Cagayan de Oro akan dipindahkan ke sebuah tanah kerajaan di pinggir ibu negara, sementara rumah-rumah dibina di kawasan seluas enam hektar.
Jelasnya, penduduk di Iligan pula akan ditempatkan di sebuah terminal bas, sementara pihak berkuasa mengenal pasti penempatan kekal untuk mereka.
Operasi mencari mayat akibat bencana itu hari ini diteruskan di kawasan yang lebih jauh dengan dibantu nelayan, tentera laut, polis dan anggota bomba.
Hampir 10 hari selepas Washi melanda, lebih banyak mayat dihanyutkan ke pantai, menjadikan angka korban setakat ini meningkat kepada 1,236 orang dengan dua pertiga daripada mayat itu tidak dapat dikenal pasti.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu merayu sumbangan dana berjumlah AS$28.6 juta (RM91 juta) untuk membantu lebih setengah juta mangsa taufan di Filipina. - AFP/AP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment