Pages

Tuesday, December 27, 2011

Ahli perniagaan ditahan lagi selepas dibebaskan



Peguam suspek seorang ahli perniagaan lelaki bergelar Datuk, Datuk Ahmad Damanhuri Mohd. Yusof (kiri) berbincang sesuatu bersama penolongnya, Mohd. Rafik Rahem di Kuala Lumpur, semalam. - Foto CHINA PRESS


KUALA LUMPUR 26 Dis. - Seorang ahli perniagaan lelaki bergelar Datuk yang dibebaskan selepas ditahan reman sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sekali lagi ditahan polis hari ini.

Suspek yang berusia 45 tahun dibawa ke Pusat Tahanan Sementara, Balai Polis Bukit Jalil, ditahan semula selepas dibebaskan kira-kira pukul 11 pagi ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, penahanan semula lelaki itu dibuat bagi membantu siasatan satu kes penipuan yang dilaporkan seorang pengadu wanita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 7 Ogos 2009 lalu.

Katanya, pengadu yang berusia 43 tahun bersama sepupunya dikatakan bertemu dengan ahli perniagaan itu untuk berurusan mendapatkan projek stesen minyak Shell di sekitar Lembah Klang pada Oktober 2007.

Beliau berkata, sebaik perjumpaan dan perbincangan itu, suspek mengarahkan wanita itu membuat pembayaran sebanyak RM280,000 bagi mendapatkan projek tersebut.

"Setelah membayar wang itu, wanita tersebut mendapati ahli perniagaan itu tidak berjaya mendapatkan projek tersebut seperti mana yang telah dijanjikan.

"Berikutan itu, polis menahan lelaki itu sekali lagi selepas tempoh reman tahanan siasatan terhadapnya mengikut Akta SPRM 2009 tamat hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Khamis lalu, ahli perniagaan tersebut ditahan reman selama dua hari selepas dipercayai cuba menyogok beberapa pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pada Sabtu lalu, tempoh tahanan reman suspek disambung hingga ke hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah JSJK, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan penangkapan semula ahli perniagaan itu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments: