Pages

Saturday, December 3, 2011

Los Angeles dilanda ribut kuat



Beberapa orang penduduk memerhati beberapa batang pokok tumbang menghempap kenderaan dan merentangi jalan di sebatang lebuh raya di Highland Park, Los Angeles, California akibat dilanda ribut kuat, kelmarin. - REUTERS


LOS ANGELES 2 Dis. - Kira-kira 350,000 penduduk Los Angeles terputus bekalan elektrik semalam, selepas bandar itu dilanda ribut kuat menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas akibat banyak pokok tumbang dan rumah penduduk mengalami kerosakan.

Angin kuat turut menyebabkan kerosakan di kawasan barat, termasuk Utah, di mana 55,000 penduduk terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus dan 10 treler terbalik ekoran ditiup angin lintang di Salt Lake City.

Jurucakap pihak berkuasa Los Angeles County, Tony Bell berkata, beberapa kawasan yang terjejas diisytiharkan darurat sebagai langkah untuk mempercepatkan urusan menghulurkan bantuan oleh pihak berkuasa negeri dan persekutuan.

Sekolah-sekolah awam ditutup dan pekerja majlis perbandaran bertungkus-lumus memulihkan bekalan elektrik serta mengalihkan pokok-pokok yang tumbang di kebanyakan kawasan dan jalan.

Kegagalan lampu isyarat berfungsi juga menyebabkan kesesakan di kebanyakan persimpangan jalan.

Banyak rumah dan kereta ditimpa pokok-pokok tumbang dengan 42 rumah serta pangsapuri di Pasadena yang mengalami kerosakan diisytiharkan tidak selamat untuk didiami, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Sebuah stesen perkhidmatan turut musnah selepas dihempap sebatang pokok besar dan pasukan bomba dikerah di seluruh wilayah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko tinggi berlakunya kebakaran.

Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX), Nancy Castles berkata, bekalan elektrik yang terputus untuk tempoh yang lama menyebabkan hampir 24 penerbangan komersial ke LAX terpaksa ditukar ke lapangan terbang lain.

"Beberapa penerbangan juga terpaksa ditangguhkan walaupun bekalan elektrik telah dipulihkan," katanya. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: