Pages

Saturday, December 3, 2011

FBI intip komuniti Islam


NEW YORK 2 Dis. - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) didakwa mengintip dan mengumpul maklumat mengenai kumpulan komuniti Islam melalui penyertaan dan pertemuan dalam program khidmat masyarakat dengan wakil mereka, kata pertubuhan hak asasi Amerika Syarikat (AS), semalam.

Kesatuan Kebebasan Hak Sivil Amerika (ACLU) dalam satu laporan berkata, FBI melangkaui bidang kuasanya dan melanggar kepercayaan kumpulan itu yang bersetuju untuk bertemu pegawai penguatkuasa undang-undang.

Laporan itu dikeluarkan berdasarkan dokumen kerajaan yang didapati melalui Akta Kebebasan Maklumat.

''FBI telah melanggar undang-undang dengan menggunakan program khidmat masyarakat untuk secara rahsia mengumpul dan menyimpan maklumat mengenai aktiviti pertubuhan komuniti, bagi tujuan perisikan,'' kata pertubuhan hak asasi itu.

Seorang bekas ejen FBI yang kini bekerja di ACLU, Michael German berkata, menggunakan kaedah itu untuk mengintip hanya membawa kepada masalah.

''Kepercayaan terhadap usaha khidmat masyarakat itu akan gagal apabila FBI mengeksploitasi program seperti ini untuk mengumpul maklumat perisikan anggota keagamaan dan komuniti dalam pertemuan berkenaan.

''FBI sepatutnya jujur dengan pertubuhan komuniti mengenai apakah maklumat yang mereka kumpul dalam pertemuan terbabit dan membuang sebarang maklumat terkumpul yang tidak berkaitan,'' ujarnya.

ACLU berkata, antara contoh maklumat yang dikumpul termasuk pendapat, maklumat persatuan dan hubungan peserta jamuan Ramadan pada 2007 dan 2008 dalam program khidmat masyarakat anjuran masjid San Francisco.

''Pada 2009, FBI di San Jose, California, mengumpul maklumat pendapat dan latar belakang tiga pemimpin dan anggota komuniti ketika satu program kerjaya,'' ujar ACLU. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: