Pages

Monday, November 28, 2011

Susilo nafi kos majlis kahwin anak 40 bilion rupiah



Edhie Ibas Baskoro (tiga dari kiri) dan Siti Rubi Aliya (tiga dari kanan) bergambar bersama ibu bapa mereka, dari kiri, Presiden Susilo dan isteri Kristiani (dua dari kiri) bersama Hatta Rajasa (kanan) dan isterinya Okke (dua dari kanan) semasa majlis perkahwinan pasangan itu di Istana Cipanas di Jawa Barat pada 24 November lalu. - REUTERS


JAKARTA 27 Nov. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini menafikan laporan yang mendakwa majlis perkahwinan anak lelakinya dengan anak Menteri Koordinasi Ekonomi, Hatta Rajasa melibatkan kos bernilai kira-kira 40 bilion rupiah (RM17.1 juta).

Majlis perkahwinan antara Edhie Ibas Baskoro Yudhoyono dan Siti Rubiya Aliya Rajasa diadakan selama tiga hari sejak kelmarin dengan sambutan perkahwinan itu dijadual berlangsung pada petang ini di Pusat Konvensyen Jakarta.

Akhbar tabloid Indonesia, Cek dan Ricek melaporkan mengenai kos perkahwinan tersebut mencecah 40 bilion rupiah, namun akhbar terbabit tidak menyatakan sumber kewangan itu.

Bagaimanapun akhbar Jakarta Globe melaporkan pegawai pejabat Presiden di Istana Cipanas menafikan dakwaan itu.

Jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha berkata, berita tersebut tidak benar dan semua pihak yang terlibat dalam perkahwinan itu keliru dengan laporan akhbar terbabit.

Namun, beliau enggan menyatakan kos sebenar perkahwinan itu yang dikatakan tidak setinggi seperti yang dilaporkan.

Julian berkata, kedua-dua keluarga pengantin sama-sama mengeluarkan perbelanjaan untuk perkahwinan itu yang berlangsung di Istana Cipanas, Jawa Barat.

"Segala butiran perbelanjaan perkahwinan akan dihantar kepada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) untuk tindakan lanjut.

"Jumlah yang dilaporkan pihak media tidak benar dan Presiden telah mengarahkan penganjur perkahwinan supaya menyediakan laporan perkahwinan untuk diserahkan kepada KPK," katanya. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: