digilis

KRUBONG - Hajat seorang pemuda untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya tidak kesampaian apabila maut digilis lori semasa dalam perjalanan menuju ke gelanggang futsal di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, mangsa, Jackson Basiri, 21, yang berasal dari Sabah, menunggang motosikal yang kemudian sebelum bergesel dengan sebuah lori dari arah Pantai Belimbing, Durian Tunggal, menghala persimpangan lampu isyarat Krubong/Lebuh SPA.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, lori terbabit yang datang dari arah sama terbabas sendiri ke kiri jalan lalu bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Alor Gajah.

“Pemandu lori dipercayai cuba memintas motosikal ditunggang mangsa sebelum mangsa terjatuh ke atas jalan yang kemudian digilis tayar bahagian belakang kiri lori berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.