Pages

Monday, November 28, 2011

China ronda Sungai Mekong



Sebuah kapal peronda tentera laut China meronda di Sungai Mekong. - AGENSI


SHANGHAI 27 Nov. - China dilapor bakal berkerjasama dengan Laos, Myanmar dan Thailand untuk mengadakan rondaan di Sungai Mekong selepas 13 kelasi China terbunuh dalam satu serangan di laluan sungai itu pada Oktober lalu.

Agensi berita Xinhua semalam melaporkan kerjasama tersebut yang membabitkan pasukan yang dilengkapi senjata, akan bermula pada 15 Disember ini.

Menurut Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Keselamatan Awam China, polis negara ini akan menyertai pasukan dari Laos, Myanmar dan Thailand untuk menjamin keselamatan urusan perdagangan di laluan kapal tersebut.

Sekurang-kurangnya 13 kelasi dua kapal kargo China terbunuh dalam serangan di Sungai Mekong pada 5 Oktober lalu, dipercayai dilakukan oleh kumpulan pengedar dadah di kawasan Segi Tiga Emas itu yang terkenal dengan aktiviti penyeludupan dadah.

Polis Thailand turut menahan sembilan askar yang disyaki membunuh kelasi-kelasi terbabit dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengedar dadah Myanmar.

Laluan Sungai Mekong dari wilayah Yunan di barat daya China yang mengalir ke Asia Tenggara, merupakan laluan utama perdagangan melibatkan beberapa negara termasuk Kemboja dan Vietnam.

Serangan tersebut membangkitkan kemarahan China, sekali gus memanggil wakil diplomatik Thailand, Laos dan Myanmar bagi menggesa pihak berkuasa di ketiga-tiga negara terbabit mempercepatkan siasatan.

Beijing bakal mengetuai rondaan tersebut dan menubuhkan ibu pejabat bagi memudahkan komunikasi antara negara-negara yang terlibat dalam kerjasama itu pada setiap hari.

Polis keempat-empat negara terbabit turut meneliti cara yang lebih berkesan dalam meningkatkan kawalan di kawasan itu dan China dilapor akan melatih serta menyediakan kemudahan kepada polis Laos dan Myanmar. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: