Pages

Wednesday, November 9, 2011

Niat murni tinggal kenangan

ADRIAN...ditetak penjenayah.
ADRIAN...ditetak penjenayah.
Mary Catherine De Cruz
Mary Catherine De Cruz

KLANG: Mahu membuka klinik sendiri dan memberi khidmat percuma kepada orang susah terutama anak yatim. Itu cita-cita murni pelajar perubatan Universiti Brawijaya, Malang, Indonesia, Adrian Jay Pereira, 22, yang mati akibat ditetak penjenayah di rumah sewanya, kelmarin.

Ibu mangsa, Mary Catherine De Cruz, 52, berkata kini cita-cita anaknya itu tinggal kenangan dan dia sekeluarga masih sukar menerima hakikat kematian anak sulungnya itu. Menurutnya, Adrian anak yang amat baik dan disayangi semua orang serta menjadi sandaran utama untuk mengubah nasib keluarga supaya menjadi lebih baik.


Pelajar perubatan tahun tiga itu maut akibat ditetak di leher ketika cuba menghalang pencuri motosikal milik rakannya di kawasan rumahnya di Malang, pada jam 7 malam kelmarin waktu tempatan.

Mary Catherine berkata, kali terakhir Adrian menghubunginya pada Ahad lalu dengan menyatakan dia sangat sayangkan ibu serta dua lagi adik perempuan iaitu Felicity Janet Pereira, 19, dan Alma Jacelyn Pereira, 16.


“Adrian juga memberitahu komputernya rosak. Saya kata pakai dulu nanti balik sini kami ganti lain. Namun pada jam 8.40 malam (kelmarin) saya dapat lagi panggilan daripada nombornya.


“Bagaimanapun, pemanggilnya orang lain yang memperkenalkan diri sebagai senior Adrian. Dia kata Adrian menghadapi malapetaka. “Saya kata jangan main-main dan dia menerangkan hal sebenar anak saya sudah mati akibat ditetak penjenayah,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di rumahnya di Taman Klang Jaya, di sini, semalam.

Mary Catherine berkata, Adrian anak yang pintar apabila mendapat keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan utama iaitu 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 7A Penilaian Menengah Rendah (PMR), 8A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 1A 3B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).


“Saya masih sukar mempercayai sudah kehilangan anak sulung dan selalu teringat-ingat keseronokan dia menikmati masakan saya ketika pulang bercuti pada September lalu,” katanya.

Menurutnya, Adrian dijangka tamat pengajian dalam bidang kedoktoran pada 2014.


Dalam kejadian berhampiran rumah sewanya di Jalan Pisang Kipas, Malang, Jawa Timur, pada jam 7 malam kelmarin, Adrian berehat sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah. Selepas meninjau ke luar rumah menerusi jendela, dia melihat seorang lelaki cuba melarikan motosikal. Adrian menyergah lelaki itu dan mengejarnya selepas suspek melarikan diri.


Selepas suspek gagal dijejaki, Adrian berpatah balik ke rumahnya, namun ketika dia membuka topi keledar, tiba-tiba lehernya ditetak suspek yang dipercayai datang semula.


Adrian yang parah di leher maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Besar Dr Saiful Anwar, Jawa Timur.


Sementara itu, Pegawai Protokol Universiti Brawijaya, Gotok Kuritor ketika dihubungi berkata satu majlis pelepasan mayat diadakan Fakulti Kedoktoran untuk menyerahkan secara rasmi mayat Adrian kepada perwakilan Kedutaan Besar Malaysia.


“Selepas proses penyerahan itu, saya difahamkan mayat akan dibawa pulang ke Malaysia dengan pesawat menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya,” katanya.

myMetro | Niat murni tinggal kenangan:

'via Blog this'

No comments: