Pages

Wednesday, November 9, 2011

Digantung sampai mati



Mailesi Phiri dibawa keluar setelah didapati bersalah mengedar dadah pada tahun lalu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 8 Nov. - Seorang wanita warganegara Zambia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 770.2 gram dadah jenis methamphetamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Amin Firdaus Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mailesi Phiri, 34, selepas beliau berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Dalam penghakiman ringkasnya, beliau menolak keterangan tertuduh yang mendakwa tidak tahu mengenai dadah tersebut kerana beg yang dibawanya adalah pemberian adik teman lelakinya bagi menggantikan begnya yang sudah uzur.

Mohd. Amin turut tidak menerima keterangan berkenaan kerana tertuduh tidak patut bersikap naif disebabkan pernah ke Pakistan sekali dan Malaysia sebanyak dua kali.

Mailesi didakwa mengedar 770.2 gram methamphetamin di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira pukul 7.30 malam, 8 Disember 2010.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nur Sarah Dina Baharuddin mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Wanita tersebut yang merupakan seorang penghidap HIV diwakili oleh peguam S. Yagoo.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments: