Pages

Wednesday, November 9, 2011

Lima ceti cekik darah diberkas



Rodwan (tengah) menunjukkan sebahagian wang dan cek yang dirampas daripada lima lelaki yang diberkas pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kegiatan sekumpulan pemberi pinjaman tanpa lesen atau ah long mengaut keuntungan dengan kadar faedah serendah 10 peratus seminggu sejak lima tahun lalu tumpas selepas polis menahan lima lelaki pada Rabu lalu.

Kelima-lima suspek yang berusia antara 25 hingga 33 tahun dari Tangkak, Johor ditahan dalam dua serbuan di Jalan Sri Sentosa, Petaling Jaya dan Setapak, Kuala Lumpur.

Penahanan terhadap kelima-lima suspek itu dibuat selepas polis menerima laporan pada 10 Oktober lalu daripada seorang peniaga yang mendakwa rumahnya disimbah cat merah manakala mangga pintu pula disumbat dengan gam yang dipercayai akibat perbuatan ah long.

Bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Sri Sentosa pada pukul 8.15 malam, Rabu lalu dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Bersama-sama suspek itu, polis menemui sejumlah dokumen seperti penyata bank dan cek.

Selepas soal siasat dijalankan, polis kemudian menyerbu sebuah unit apartmen di Setapak kira-kira lima jam kemudian dan menahan empat lelaki.

Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rodwan Mohd. Yusof berkata, pemeriksaan awal mendapati kumpulan ceti itu menyewa sebuah unit apartmen lain di bangunan sama yang dijadikan sebagai pejabat operasi menguruskan pinjaman wang haram kepada mangsa.

“Dalam dua serbuan itu, kita menemui wang sebanyak RM60,000, dokumen permohonan peminjam dan 174 keping cek bernilai RM2.23 juta,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan pihaknya percaya kumpulan ceti itu beroperasi di sekitar Lembah Klang dan peminjamnya juga disyaki dari kawasan sama.

Mengikut modus operandi, kumpulan ah long terbabit mempromosikan perkhidmatan mereka melalui pelekat-pelekat yang ditampal pada papan tanda selain tempat-tempat awam seperti perhentian bas dan premis-premis usang.

Peminjam yang berminat akan menghubungi nombor yang tertera pada pelekat tersebut sebelum bertemu dengan wakil-wakil ceti haram terlibat.

Kebiasaannya, wakil ceti tersebut akan berjumpa mangsa di lokasi seperti restoran kerana mereka tidak memiliki pejabat tetap.

Bagi pemohon yang mahu meminjam wang dalam jumlah yang banyak, mangsa perlu mengemukakan aset seperti rumah dan kereta sebagai cagaran.

Pinjaman daripada ceti itu akan diluluskan selewat-lewatnya dalam tempoh dua hari dari tarikh permohonan.

“Siasatan mendapati kumpulan ah long ini mengenakan faedah 10 peratus seminggu daripada jumlah pinjaman.

“Jadi, kita sedang menyiasat bagaimana dana kewangan itu mereka peroleh,” kata beliau.

Jelas Rodwan lagi, berdasarkan cek-cek yang dirampas pihaknya percaya jumlah mangsa yang meminjam wang daripada ceti terbabit lebih 170 orang.

Jelas beliau, kumpulan ah long terbabit turut menggunakan kaedah ugutan seperti menyimbah cat merah, meletakkan gam pada mangga pintu namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Rodwan memberitahu, kes membabitkan kelima-lima lelaki yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM200,000 atau penjara sehingga 15 bulan dan sebatan.

Pada tahun ini sehingga Oktober lalu, polis menerima 31 laporan polis membabitkan ceti haram dengan 15 tangkapan dibuat di seluruh negara.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments: