KAWASAN penempatan Yahudi di Har Homa bagi Israel atau Jabal Abu Ghneim bagi Palestin menunjukkan usaha Israel memperluaskannya selepas UNESCO mengambil Palestin menjadi ahlinya.
BAITULMAQDIS: Israel mengumumkan akan membina 2,000 rumah lagi untuk pendatang Yahudi dengan membekukan pemindahan dana cukai Palestin sebagai menghukum mereka atas undian di UNESCO meluluskan kemasukan sebagai ahli badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.Rejim Zionis itu mendapat ilham daripada langkah Amerika yang menarik balik dana kepada UNESCO. Malah, ia juga membincangkan serangan terhadap Iran bagi memusnahkan program nuklearnya.Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan anggota Kabinetnya bersetuju mempercepat pembinaan penempatan di timur Baitulmaqdis dan kawasan berhampiran, sehari selepas UNESCO menerima Palestin sebagai anggota penuh.
“Langkah ini dipersetujui...sebagai hukuman selepas mengundi di UNESCO,” kata pegawai kanan kerajaan sebelum Netanyahu mendakwa Israel membuat keputusan itu kerana mempunyai hak berbuat demikian.
“Kami akan bina 2,000 unit rumah termasuk 1,650 kediaman di timur Baitulmaqdis dan selebihnya di penempatan Maaleh Adumim dan Efrat,” tambahnya merujuk kepada penempatan besar di timur Baitulmaqdis dan satu lagi antara Baitulaham serta bandar selatan Hebron.
“Kami juga memutuskan untuk membekukan pemindahan dana secara sementara kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA),” tambahnya.
Setiap bulan, Israel memindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin puluhan juta dolar sebagai cukai kastam terhadap barangan yang dihantar ke pasar Palestin yang transit melalui pelabuhan Israel. Peruntukan itu mewakili peratusan besar dalam belanjawan Palestin.
Israel sering membekukan pemindahan dana itu sebagai langkah hukuman dalam hubungan diplomatik atau perkembangan politik yang dilihat sebagai berbahaya.
Sementara itu, Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak cuba meyakinkan Kabinet supaya menyokong serangan terhadap Iran, lapor akhbar Haaretz.
Netanyahu berusaha untuk memenangi sokongan majoriti untuk menyerang Iran tetapi ada beberapa anggota Kabinet menentang serangan itu.
Netanyahu berjaya meyakinkan Menteri Luar, Avigdor Lieberman menyokong serangan itu yang bertujuan memusnahkan keupayaan nuklear Iran.
Tetapi menteri lain dilaporkan menentangnya dengan ramai yang beranggapan yang tindakan terhadap Iran perlu dilakukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Laporan Haaretz keluar beberapa hari selepas spekulasi rancangan serangan Israel terhadap Iran. Isnin lalu, Barak menafikan laporan media bahawa beliau dan Netanyahu sudah memutuskan untuk menyerang Iran walaupun ditentang ketua perisikan dan ketenteraan.
Antara yang masih menentang serangan itu, kata Haaretz ialah Menteri Dalam Negeri, Eli Yishai dari parti ultra-Ortodok Shas, Menteri Perisikan, Dan Meridor, Menteri Hubungan Strategik dan orang kepercayaan Netanyahu, Moshe Yaalon dan Menteri Kewangan, Yuval Steinitz.
Haaretz berkata, laporan keupayaan nuklear Iran dijangka diterbitkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa pada Selasa minggu depan akan membantu keputusan terhadap serangan ke atas Tehran. – AFP/Agensi
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment