Pages

Thursday, November 3, 2011

Syarikat Indonesia di luar negara kerap amal rasuah

BERLIN: Organisasi Transparency International yang beribu pejabat di Berlin meletakkan Indonesia di tangga keempat dalam senarai negara yang mempunyai syarikat perniagaan di luar negara yang mengamalkan rasuah selepas Russia, China dan Mexico.
Transparency mengeluarkan Indeks Pembayar Rasuah 2011, semalam yang menyenaraikan 20 negara pengeksport utama antarabangsa yang mempunyai syarikat mengamalkan rasuah di luar negara.

“Syarikat dari Russia dan China yang melabur AS$120 bilion (RM360 bilion) di luar negara tahun lalu dilihat cenderung mengamalkan rasuah. Syarikat dari Belanda dan Switzerland paling kurang terbabit dengan rasuah,” kata kenyataan dikeluarkan Transparency. Indeks itu berdasarkan kaji selidik membabitkan 3,000 eksekutif perniagaan dari negara membangun dan negara maju.

Keputusan dibuat merujuk kepada maklum balas eksekutif perniagaan terhadap pertanyaan, berapa kerap syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan negara mereka terbabit dengan rasuah. Mata 0 bermaksud mereka selalu mengamalkan rasuah dan 10 bermakna mereka tidak terbabit dengan rasuah.

Belanda, Switzerland, Belgium, Jerman dan Jepun adalah negara lima teratas yang mengutip mata tertinggi dengan 8.8, 8.8, 8.7, 8.6 dan 8.6.

Manakala, Emiriyah Arab Bersatu, Indonesia, Mexico, China dan Russia menduduki tangga lima terbawah dengan mata 7.3, 7.1, 7.0, 6.5 dan 6.1.

No comments: