Pages

Thursday, November 3, 2011

Amaran renjatan elektrik di Bangkok



BEBERAPA orang berdiri di atas bangku di sebuah perhentian bas yang dilanda banjir di daerah Phisi Charoen, Bangkok semalam.


BANGKOK - Pihak berkuasa Thailand semalam memberi amaran kepada mangsa-mangsa banjir berhubung peningkatan bahaya renjatan elektrik di kawasan berpenduduk padat di ibu kota negara berkenaan di sini dan beberapa kawasan sekitarnya.
Amaran itu dikeluarkan selepas angka kematian akibat banjir terburuk yang pernah melanda Thailand itu meningkat melebihi 400 orang.
Walaupun pusat bandar raya ini masih kering, banyak kawasan penempatan penduduk di pinggir ibu kota dan bahagian utara ditenggelami air sehingga ke paras pinggang manakala beberapa kawasan lain paras air lebih dalam.
Banjir itu kini mengalir ke selatan Thailand.
Kerajaan berkata, bencana banjir kini mengorbankan 427 orang iaitu peningkatan sebanyak 42 orang daripada angka kematian pada hari sebelumnya.
Punca terbesar kematian ialah lemas dengan puluhan lagi terbunuh akibat terkena renjatan elektrik.
"Sejak 10 hari lalu, kematian akibat renjatan elektrik meningkat daripada cuma sembilan orang kepada 36 orang. Sebanyak 80 peratus kes renjatan elektrik berlaku di wilayah-wilayah sekitar Bangkok," kata seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan Awam, Porntep Siriwanarangsun.
"Saya pasti banyak lagi kes renjatan elektrik yang tidak dilaporkan. Jika isu ini tidak segera ditangani ia akan menjadi punca kematian utama dalam bencana banjir kali ini," tambahnya.
Kebanyakan kes maut renjatan elektrik, kata Porntep, berlaku kerana kecuaian orang ramai terutamanya ketika mereka kembali ke rumah yang digenangi banjir. - AFP

No comments: