Pages

Thursday, November 3, 2011

Syria setuju pelan tamatkan sengketa kelolaan Liga Arab



SEORANG wanita Syria memegang bendera negara itu semasa menyertai perhimpunan menyokong Presiden Bashar al-Assad di Deir Al-Zor, tenggara Damascus, kelmarin. - AFP


DAMSYIK 2 Nov. - Syria dan Liga Arab mempersetujui pelan bagi menamatkan pertumpahan darah di negara ini, lapor media rasmi Damsyik.
Bagaimanapun seorang pegawai kanan pertubuhan serantau itu berkata, pihaknya masih menantikan jawapan rasmi daripada Syria.
"Syria dan Liga Arab mempersetujui dokumen akhir mengenai situasi di Syria dan pengumuman rasmi akan dibuat di ibu pejabat Liga Arab esok (hari ini)," lapor stesen televisyen kerajaan Syria dan agensi beritaSANA awal malam tadi.
Timbalan Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Ben Helli memberitahu televisyen Al-Arabiya kemudian, belum ada jawapan yang diterima daripada Syria.
"Setiausaha Agung Liga Arab belum menerima jawapan rasmi Syria terhadap dokumen yang dikemukakan oleh jawatankuasa peringkat menteri bagi menamatkan keganasan," kata Ben Helli.
Cadangan Liga Arab itu bertujuan untuk menamatkan pertumpahan darah sejak lebih tujuh bulan lalu, yang dilaporkan telah meragut lebih 3,000 nyawa, kebanyakannya orang awam yang terbunuh dalam kempen kerajaan untuk menamatkan protes.
Presiden Syria, Bashar al-Assad menghadapi tekanan makin meningkat daripada masyarakat antarabangsa dan Arab untuk menamatkan keganasan dan melaksanakan pembaharuan meluas bagi memenuhi tuntutan penunjuk perasaan yang memprotes hampir setiap hari sejak pertengahan Mac lalu.
Pelan Liga Arab itu antara lain menggesa Assad mengundurkan kereta kebal dari tempat awam dan melancarkan dialog kebangsaan dengan penentang beliau. - AFP

No comments: