Pages

Thursday, November 3, 2011

Pihak berkuasa Thailand gigih baiki pintu air di Bangkok



BANGKOK 2 Nov. - Pihak berkuasa Bangkok hari ini menjalankan kerja-kerja memperbaiki kerosakan pada pintu-pintu air yang dikatakan menjadi punca krisis banjir di ibu negara Thailand ini sehingga menimbulkan kemarahan penduduk.
Dengan jumlah korban banjir meningkat kepada 427 orang, kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dilihat tidak sehaluan dengan pentadbiran Bangkok yang didominasi parti pembangkang, Parti Demokrat dalam menangani krisis berkenaan.
Walaupun pusat bandar Bangkok terselamat daripada banjir buruk selepas benteng di sepanjang Sungai Chao Phraya berjaya menghalang limpahan air semasa air pasang dari Teluk Siam, namun kawasan di pinggir dan utara Bangkok masih ditenggelami air.
Antara pintu air yang diperbaiki bagi mengurangkan kesan banjir yang melanda kota Bangkok sejak Julai lalu itu adalah di Sam Wa.
''Pihak kami juga akan meninjau keadaan pintu air di kawasan perindustrian Bang Chan,'' kata jurucakap pentadbiran Bangkok, Jate Sopitpongstorn.
Sementara itu, Timbalan Gabenor Bangkok, Theerachon Manomaipaiboon berkata, pihak berkuasa mula membina benteng guni pasir bagi menghalang limpahan air memasuki pusat bandar ini dari utara.
Semalam, kemarahan penduduk Bangkok memuncak dan mendakwa kerajaan gagal menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Penduduk juga melahirkan rasa tidak puas hati ekoran rumah-rumah mereka terpaksa dikorbankan untuk 'mengalihkan' aliran air sebagai langkah menyelamatkan bahagian tengah ibu negara ini. - REUTERS

No comments: