Pages

Thursday, November 3, 2011

Israel bina 2,000 rumah haram



BAITULMAQDIS 2 Nov. - Israel semalam mengumumkan ia akan membina 2,000 lagi rumah penempatan haram Yahudi dan membekukan pemindahan wang cukai kepada Palestin sebagai hukuman kerana diterima sebagai anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Keputusan untuk mempercepatkan pembinaan penempatan haram Yahudi di timur Baitulmaqdis dan kawasan penempatan haram berdekatan diambil oleh lapan menteri kanan Kabinet Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang bersidang sehari selepas perhimpunan agung UNESCO mengundi untuk menerima Palestin sebagai anggota penuh badan dunia itu.
"Langkah-langkah itu dipersetujui sebagai hukuman berikutan pengundian di UNESCO.
"Kami akan membina 2,000 unit rumah (penempatan haram Yahudi) termasuk 1,650 rumah di timur Baitulmaqdis dan bakinya di kawasan penempatan Maaleh Adumin dan Efrat," kata seorang pegawai kanan kerajaan.
Mesyuarat turut memutuskan untuk membekukan pemindahan dana kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), ujarnya.
Israel setiap bulan memindahkan cukai kastam berjumlah puluhan juta dolar kepada PA dan dana itu merupakan sebahagian besar daripada bajet Palestin.
Pengumuman itu mencetuskan kemarahan di pihak Palestin, termasuk jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeina yang menggesa Kuartet Asia Barat dan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) 'menghentikan tindakan sewenang-wenang' yang boleh memberi kesan negatif terhadap seluruh rantau ini.
"Keputusan Israel untuk mempercepatkan pembinaan di kawasan penempatan haram dengan membina 2,000 unit rumah baru adalah keputusan Israel untuk mempercepatkan kemusnahan proses damai.
"Pembekuan dana itu pula umpama mencuri wang rakyat Palestin," kata Abu Rudeina. - AFP

No comments: