Pages

Monday, October 31, 2011

Harapan hindar banjir di Bangkok



BEBERAPA pekerja dan anggota sukarelawan meletakkan beg pasir di sebatang jalan raya yang dilanda banjir di Bangkok, Thailand semalam. - Agensi


BANGKOK – Kerajaan meletakkan harapan baharu dalam memastikan pusat bandar raya ini terhindar banjir apabila berjaya melepasi ujian paling sukar kelmarin yang melangkaui jangkaan pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berkata, pusat bandar raya itu mampu mendepani cabaran jika benteng banjir yang diuji hebat kekal kekal teguh esok susulan aliran air bah yang besar dari utara dan tengah negara.
Ibu negara ini menghadapi cabaran sukar apabila kira-kira 10 bilion meter padu aliran air bah melintasinya sebelum memasuki Teluk Thailand, manakala air pasang besar selama tiga hari sejak kelmarin menyukarkan lagi air itu mengalir ke laut.
Selain bencana semula jadi, pihak berkuasa juga berdepan dengan isu beberapa penduduk cuba merobohkan benteng banjir yang menyebabkan banjir teruk di kawasan mereka.
Yingluck menggesa mereka agar menghentikan perbuatan itu memandangkan kerajaan sedang berusaha mencari jalan menangani bencana banjir terburuk dalam tempoh lima dekad yang melanda negara sekarang.
Harapan bahawa pusat bandar raya dapat diselamatkan daripada banjir itu timbul memandangkan impak bah yang melanda ibu kota tidak seteruk yang dijangkakan.
Pada awalnya kerajaan menjangka seluruh Bangkok akan ditenggelami air antara 0.5 sehingga 1.5 meter, khususnya ketika air pasang besar menyebabkan pihak pemerintah mengisytiharkan cuti khas bermula 27 Oktober lalu hingga hari ini bagi pejabat kerajaan di kawasan dilanda banjir.
Malah, menerusi pengumuman pada Jumaat lalu itu juga kerajaan meminta penduduk di ibu kota agar meninggalkan bandar raya ini susulan ramalan banjir besar.
Pelan pemindahan besar-besaran juga dirangka dengan pusat pemindahan turut meliputi kawasan yang tidak dilanda banjir.
Kebimbangan pihak berkuasa itu berikutan semua tembok banjir di bahagian utara dan tengah roboh mengakibatkan banjir besar di wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, ancaman banjir serius masih wujud susulan tebaran banjir yang luas di utara dan barat Bangkok.
Aliran air bah telah menembusi sesetengah kawasan di daerah Chatuchak, Lad Phrao dan Wang Tonglang yang terletak di dalam Bangkok yang bersempadan dengan pusat ibu kota.
Pasar Chatuchak, pasar hujung minggu popular bagi rakyat tempatan dan pelancong yang menempatkan 10,000 kedai dan menghasilkan pendapatan 10,000 bilion Baht (RM1 bilion) setahun, ditutup semalam apabila sebahagian daerah itu dilanda bah.
Daerah Don Mueang di utara Bangkok hampir 100 peratus dilanda banjir semalam, kata Gabenor Bangkok, Sukhumband Paribatra.
Daerah Thawi Wattan dan Bang Phlad di barat Bangkok juga masih mengalami banjir serius, manakala Dewan Bandaraya kini memantau daerah Taling Chan yang mungkin dilanda bah teruk, katanya.
Banjir juga dilapor telah melanda sesetengah bahagian di daerah Phra Khanong dan Yannava yang terletak hampir dengan pusat bandar.
Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi masih terselamat daripada banjir setakat ini walaupun Lapangan Terbang Don Mueang yang mengendalikan kebanyakan penerbangan domestik ditutup seminggu sejak Selasa lalu.
Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih dilanda banjir yang berlaku secara berperingkat sejak 25 Julai lepas, membabitkan dua juta penduduk dari 26 wilayah di bahagian utara dan tengah.
Angka kematian direkodkan pada 381 setakat semalam. – Bernama

No comments: