PADANG SERAI 30 Okt. - Sepasang suami isteri bimbang setelah anak bongsu mereka hilang tanpa khabar berita pada hari peperiksaan akhir tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas di sini, Isnin lalu.
Anak keempat pasangan itu, Nur Ainina Adila Muhammad Zuki, 14, dari Kampung Perenggan Lunas di sini, dikesan datang ke sekolah pukul 11.25 pagi pada hari berkenaan.
Ibunya, Siti Hajar Osman, 44, berkata, anaknya itu yang dilihat hadir ke sekolah selepas dihantar oleh ibu saudaranya dengan motosikal bagaimanapun tidak masuk ke kelas.
"Rakan-rakannya beritahu dia tidak masuk kelas pada hari itu untuk peperiksaan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Katanya, setelah Nur Ainina Adila tidak pulang ke rumah, dia segera menghubungi pihak sekolah tetapi gagal mengesan anaknya tersebut.
Siti Hajar berkata, anak-anaknya yang lain termasuk dua kakak kepada Nur Ainina Adila iaitu Nurul Izaty, 20, Nurul Fahani, 19, dan abangnya, Mohd. Farhan Izzat, 15, turut risau kehilangan adik mereka.
"Kami sendiri tidak tahu dia pergi ke mana. Kami runsing apatah lagi dia merupakan seorang yang banyak berahsia, bila orang suruh apa, dia terus buat," tambahnya.
Bapa pelajar itu, Muhammad Zuki Jahaya, 47, pula berkata, aduan mengenai kehilangan anaknya yang dipanggil Nina atau Dikna itu telah dibuat di Balai Polis Lunas selepas kehilangannya.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu supaya menghubungi balai polis berdekatan atau Muhammad Zuki di talian 019-5253307 atau Siti Hajar 019-5033091.
-utusan
No comments:
Post a Comment