Pages

Monday, October 31, 2011

Niger undang pemberontakan jika serang Saif al-Islam



NIAMEY 30 Okt. - Niger mengundang pemberontakan daripada kaum nomad Tuareg di utara negara ini jika kerajaan Niger menyerah anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.
Saif kini dipercayai dalam perjalanan menuju ke Niger atau sudah pun berada di negara Afrika Barat ini, yang bersempadan dengan selatan Libya.
Niamey berjanji untuk menunaikan komitmennya kepada ICC tetapi penyerahan Saif kepada mahkamah itu boleh mencetuskan kekacauan di kawasan Sahara, di mana Gaddafi pernah memberi perlindungan kepada puak nomad yang bangkit memberontak menentang kerajaan pusat, yang menganggap Gaddafi sebagai wira.
Menurut ICC, Saif, 39, menghubungi mahkamah itu menerusi perantara berhubung cadangannya untuk menyerah diri, tetapi ICC juga menerima maklumat askar upahan cuba membawanya secara diam-diam ke sebuah negara Afrika.
Pegawai Libya berkata, Saif mahu mengelak daripada ditangkap oleh tentera kerajaan sementara Libya yang membunuh bapanya lebih seminggu lalu.
Niger enggan mengulas tentang kenyataan para pemimpin tempatan di utara negara ini bahawa Saif dipercayai sudah pun berada di banjaran gunung yang merentangi sempadannya dengan Algeria dan Mali.
Seorang pegawai kanan Niger di wilayah Agadez, utara negara ini, menyebut mengenai rancangan Saif dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi, kedua-duanya dikehendaki oleh ICC kerana jenayah perang, untuk melarikan diri.
"Senussi dibawa keluar dari Mali menuju ke sebuah negara yang tidak menandatangani konvensyen ICC.
"Saya pasti kedua-dua mereka (Senussi dan Saif) dibawa keluar dengan kapal terbang, Senussi dari Mali, Saif dari Niger," katanya.
Seorang ahli Parlimen dari utara Mali, Ibrahim Assaleh Ag Mohamed bagaimanapun, menafikan Senussi berada di negaranya dan berkata, Senussi serta Saif tidak akan diterima jika mereka cuba masuk ke Mali. - Reuters

No comments: