Pages

Monday, October 31, 2011

Ribut salji luar biasa landa timur AS

  • Foto

    PEKERJA membersihkan laluan pejalan kaki manakala hiasan labu di tepi jalan diselaputi salji di New York, semalam.

  • Foto

    ORANG ramai berlindung daripada salji yang melanda timur di AS, semalam.

Dua juta penduduk bergelap selepas bekalan elektrik terputus, penerbangan dibatalkan

BOSTON: Ribut salji yang jarang berlaku pada Oktober melanda bahagian pantai timur Amerika Syarikat menyebabkan bekalan elektrik kepada lebih dua juta penghuni rumah terputus, memaksa penerbangan dibatalkan dan meragut sekurang-kurang tiga nyawa setakat ini.
New York, New Jersey, Connecticut dan Massachusetts mengisytiharkan kecemasan akibat ribut itu.
“Kami menjangkakan salji akan terus turun di New York dan Maine. Menjelang pagi esok semua kawasan dilitupi salji,” kata pakar kaji cuaca kanan AccuWeather.com, Alan Reppert.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan Connecticut, Scott Devico, berkata keadaan jalan yang licin menyebabkan kemalangan maut yang meragut satu nyawa di Colchester, Connecticut.

Di Temple, Pennsylvania, seorang lelaki 84 tahun terbunuh apabila pokok dipenuhi salji tumbang di atas rumahnya, kata jurucakap Jabatan Polis Pekan Muhlenberg.

Selain itu, seorang pemuda 20 tahun maut terkena renjatan elektrik apabila terpijak landasan kereta api elektrik sebaik keluar dari kenderaannya, kata jurucakap polis Springfield.
Salji turun dari tengah Pennsylvania ke Massachusetts selepas menyelimuti sebahagian Virginia, Virginia Barat dan Maryland awal pagi semalam, kata AccuWeather.com.

Salji tidak pernah berlaku pada Oktober, sementara ribut itu mencatatkan rekod dalam penurunan salji secara keseluruhan.

AccuWeather.com melaporkan ribut salji yang tidak diduga itu memecahkan rekod yang tidak pernah berlaku sejak 1925 untuk Taman Pusat New York.

Bandaraya New York dijangka dilitupi salji dengan ketebalan 7.5 hingga 15 sentimeter sebelum ribut menjadi lemah malam Sabtu, kata Reppert.

Salji turut turun di ibu negara Amerika, Washington.

Bekalan elektrik terputus disebabkan salji, ais dan pokok tumbang dilaporkan dari pertengahan Atlantik ke New England, menyebabkan jutaan penduduk dalam kegelapan.

Penangguhan penerbangan dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia dan lapangan terbang sekitar New York. Sekurang-kurang 1,000 penerbangan dibatalkan dan Lapangan Terbang Teterboro di New Jersey ditutup sementara, kata perkhidmatan pengesanan penerbangan FlightAware.com.

Di Connecticut, Gabenor Dannel Malloy mengarahkan kenderaan bukan untuk tujuan kecemasan tidak menggunakan jalan raya di Wilbur Cross dan Merritt Parkways berikutan keadaan pemanduan yang berbahaya.

“Ini adalah ribut kuat bulan ini. Kita jarang melihat ribut yang kuat seumpama ini,” kata ahli kaji cuaca kanan, AccuWeather.com, Paul Walker.

Di Bandaraya New York, salji dan keadaan sejuk menguji penunjuk perasaan yang berkampung di Wall Street membantah mengenai ketidaksamaan ekonomi negara itu.

Bertahan dengan angin kuat, penunjuk perasaan berkelubung dalam khemah dari salji di taman di kawasan kewangan di Manhattan di mana pergerakan itu kali pertama membina khemah mereka enam minggu lalu, mencetuskan penempatan serupa di taman perbandaran di seluruh Amerika. – Reuters
erita Harian Online | Ribut salji luar biasa landa timur AS:

'via Blog this'

No comments: