Pages

Tuesday, August 2, 2011

Pinjaman kena samun

SHAH ALAM: Seorang juruteknik berputih mata pada hari pertama Ramadan apabila wang pinjaman bernilai RM25,000 disamun beberapa minit sejurus mengeluarkan wang itu dari sebuah bank di Setia Alam, di sini, semalam.
Mangsa, Kamarizal Kamarudin, 29, berkata dia mengeluarkan wang itu untuk membuka perniagaan kecil-kecilan sempena Ramadan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, selepas mengeluarkan wang berkenaan dia memandu kereta Mazda melalui simpang berdekatan kawasan kejadian sebelum dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha menahannya.

Kamarizal berkata, dua suspek mengepung keretanya di simpang sempit di situ sebelum memecahkan cermin belakang keretanya menggunakan topi keledar.

“Saya panik dan mengundurkan kereta dengan harapan suspek berhenti memecahkan cermin kereta. Bagaimanapun, saya gagal menghalang mereka kerana ada kereta lain di belakang ketika itu.

“Sebaliknya, ketika mengundur, saya terlanggar kereta berkenaan menyebabkan kenderaan saya dan kereta itu remuk. Mujur pemandu kereta itu memaafkan saya,” katanya dihubungi.
Kamarizal berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun melarikan beg berisi wang tunai yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang keretanya selepas seorang daripada mereka masuk ke dalam kereta menerusi tingkap belakang yang pecah.Dia percaya kedua-dua suspek sudah biasa menyamun kerana tindakan mereka pantas.“Saya perasan ada orang memerhatikan kereta saya dan menunggu di luar bank, tetapi tidak menjangka menjadi sasaran,” katanya.Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Superintendan Kamaruddin Ismail mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
http://www.hmetro.com.my

No comments: