Pages

Tuesday, August 2, 2011

15 penghuni banglo kena samun



inilah rumah banglo yang dipecah masuk enam lelaki berparang di Taman Bertam
Jaya, Melaka kelmarin.


MELAKA – Seramai 15 pekerja kontraktor besi termasuk majikan mereka yang menghuni sebuah banglo di Taman Bertam Jaya di sini berputih mata apabila disamun enam lelaki bersenjata parang kelmarin.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, keenam-enam suspek telah bertindak mengikat kesemua mangsa di dalam rumah tersebut sebelum menggeledah barang-barang berharga dan wang tunai.
Jurucakap polis memberitahu, kejadian bermula apabila salah seorang suspek menyamar dengan bertanyakan sesuatu kepada penghuni rumah berkenaan sebelum bertindak menyerbu masuk ke dalam rumah itu ketika pintu dibuka.
“Kesemua 15 mangsa yang berada di dalam rumah berkenaan terpaksa akur dengan arahan suspek supaya tidak melawan kerana telah diugut menggunakan parang.
“Ekoran situasi itu, suspek mengambil peluang melarikan wang tunai, barang kemas dan sebuah televisyen yang kesemuanya bernilai kira-kira RM30,000,” kata jurucakap polis itu semalam.
Lebih malang apabila suspek yang menaiki sebuah kereta turut melarikan kereta Toyota Camry milik majikan kepada mangsa itu.
“Kesemua mangsa membuka sendiri ikatan dan membuat laporan di Balai Polis Bertam Jaya di sini,” kata jurucakap polis itu lagi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, pihaknya belum dapat mengenal pasti latar belakang suspek dan siasatan lanjut mengenai kejadian masih lagi dijalankan.

No comments: