Pages

Tuesday, August 2, 2011

Nilai tanah projek PKFZ ambil kira semua kos


LIONG Sik (kanan)  tiba di  Mahkamah  Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
LIONG Sik (kanan) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menaikkan penilaian sebidang tanah pajakan negeri di Lot 67894 di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) daripada RM18 bagi keluasan 30.48 sentimeter (sm) persegi kepada RM21 selepas mengambil kira penilaian dua syarikat swasta.

Bekas Ketua Pengarah Penilaian JPPH, Datuk Sahari Mahadi, 63, berkata, kenaikan itu juga dibuat selepas mengambil kira semua kos termasuk kos pembiayaan dan infrastruktur serta nilaian khas iaitu perbelanjaan yang ditanggung penjual tanah yang perlu diambil kira untuk menaikkan nilainya.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah pada sesi pemeriksaan utama berhubung penilaian keseluruhan tanah berkenaan, Sahari berkata, jika tanah itu dibeli dengan tunai ia dinilai dengan harga RM21, tetapi jika secara tunggakan, ia akan dinilai dengan harga RM25 x 30.48 sm persegi. Ditanya sama ada harga kedua-dua nilaian itu sudah dikira dengan kadar faedah, saksi itu menjawab, “Ya, ia sudah dikira sebanyak enam peratus”.

Bekas Penolong Pengarah Penilaian JPPH Selangor, Teo Lee Lee dalam keterangannya berkata tanah berkeluasan 404.4 hektar itu dimiliki oleh Koperasi Pembangunan Pulau Lumut dan Kuala Dimensi Sdn Bhd.

Lee Lee berkata, beliau membuat penilaian terhadap tanah itu sebanyak dua kali selepas KDSB mengemukakan laporan juru nilai swasta bagi penilaian semula, sehubungan itu ibu pejabat menghantar laporan penilaian itu ke pejabat JPPH negeri untuk mendapatkan komen dan pandangan.

“Dalam laporan itu menyatakan, syarikat Azmi & Co Sdn Bhd bertarikh 9 November 1998 menilai tanah itu dengan kadar nilaian sebanyak RM29 x 30.48 sm persegi bagi 404.4 hektar. Bagi penilaian kedua, saya memberikan komen dan berpendapat penilaian itu adalah terlalu tinggi, sehubungan itu saya mengekalkan penilaian sebelum ini iaitu RM13.50 x 30.48 sm persegi bagi tanah kosong dan RM17 bagi tanah yang mempunyai jalan masuk utama serta infrastruktur.
“Tanah dinilai kali kedua membabitkan kawasan sama, tetapi berkeluasan lebih besar, saya masih mengekalkan nilaian itu kerana saya tidak dapat mencari faktor sokongan yang boleh menaikkan penilaian tanah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang menipu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ mengikut terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung hari ini.
http://www.bharian.com.my

No comments: