PENUNJUK perasaan anti-Mubarak memegang sepanduk dalam bahasa Arab bermaksud ‘Awas, Revolusi Berpatah Balik’ ketika menyertai protes baru di Medan Tahrir menuntut Mubarak dan pegawai rejimnya segera dibicara. |
KAHERAH: Bekas pemimpin Mesir yang dijatuhkan, Hosni Mubarak bakal dibicarakan mulai esok bersama dua anaknya, Gamal dan Alaa, selain ketua keselamatan, Habib Al Adly dan enam pegawai kanan polis dalam prosiding yang disiarkan secara langsung oleh televisyen.
Seramai 850 penunjuk perasaan dibunuh ketika mengambil bahagian dalam protes berkenaan. Gamal dan Alaa juga dibicarakan bersama bapa mereka dan seorang sekutu rapat atas tuduhan rasuah.
Jika Mubarak hadir, beliau akan berdepan 600 orang, termasuk sanak saudara mangsa yang maut dalam protes itu, Februari lalu.
Aktivis percaya, kesihatan Mubarak sengaja digunakan bagi menangguhkan prosiding dan mereka menuduh Majlis Tentera yang memerintah sengaja melambat-lambatkan pendakwaan ke atas bekas pemimpin itu dan tertuduh lain.
Pengerusi majlis yang juga seorang jeneral kanan adalah Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Mubarak.
Bagi mengelak krisis baru meletus, Ketua Pendakwa Raya, Abdel-Meguid Mahmoud sudah memohon supaya pihak berkuasa membawa Mubarak ke muka pengadilan.
Menteri Dalam Negeri, Mansour el-Issawi menerima permintaan Ketua Pendakwa Raya memintanya memastikan bekas Presiden Hosni Mubarak dihadapkan ke mahkamah pada 3 Ogos, menurut kenyataan agensi berita kelmarin.
Selain itu, hakim yang akan mengendalikan prosiding juga berazam supaya proses perbicaraan diadakan dengan lancar dan pantas.
Hakim Ahmad Rifaat memberitahu sidang media, beliau akan membenarkan beratus-ratus orang menghadiri perbicaraan itu di akademi polis nasional negara itu di pinggir Kaherah.
“Perbicaraan itu yang diadakan di sebuah pusat konvensyen di tengah ibu kota ini dipindah ke akademi polis terbabit,” kata Ketua Mahkamah Rayuan Kaherah, Sabtu lalu.
Perubahan itu jelas dikaitkan dengan kebimbangan berhubung tahap keselamatan ketika perbicaraan pemimpin disingkir berkenaan supaya keadaan terkawal ketika perbicaraan.
Bantahan sekali lagi memuncak baru-baru ini selepas rakyat Mesir menuntut Majlis Tertinggi yang memerintah melakukan perubahan lebih pantas menerusi pendakwaan terhadap Mubarak dan bekas pegawai rejim.
Akademi polis itu terletak di Kaherah Baru, sebuah daerah di pinggir timur ibu kota ini yang kini tidak mempunyai penduduk padat seperti kawasan di sekitar pusat konvensyen.
Perubahan tempat itu diumumkan Hakim Al Sayed Abdul Aziz Omar sejajar dengan undang-undang yang memberikannya kuasa memutuskan lokasi perbicaraan. – AP
http://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment