PETUGAS di Pelabuhan Lampedusa menyusun mayat yang ditemui dalam bot yang tiba di situ dari Libya, semalam. |
ROME: Dua puluh lima mayat ditemui dalam bot yang membawa 296 pendatang Afrika yang belayar dari Libya dan tiba di Pulau Lampedusa di Laut Sicily semalam.
Penumpang yang terselamat berkata, mangsa bersesak-sesak dalam bahagian kargo bot berkenaan dan mati akibat asap enjin, lapor agensi berita Ansa.
Pegawai pelabuhan bagaimanapun berkata, punca kematian belum dapat dipastikan dan ujian perubatan sudah dilakukan.
Bot itu yang membawa pendatang dari Sahara, Afrika, meninggalkan Libya tiga hari lalu.
Beribu-ribu orang yang melarikan diri dari negara utara Afrika yang dilanda kekacauan itu belayar ke Itali dengan menggunakan bot usang sejak beberapa bulan lalu.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (UNHCR) berkata, satu daripada setiap 10 pendatang yang melarikan diri dari Libya menerusi jalan laut berdepan dengan kematian akibat lemas, kebuluran atau keletihan yang dialami ketika pelayaran itu. - Reuters
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment