Pages

Saturday, August 27, 2011

Pertempuran di Libya perlu dihenti


ANGGOTA tentera pemberontak melihat seorang remaja ingin menyertai pasukan mereka mencuba  mengguna senjata di Benghazi semalam.
ANGGOTA tentera pemberontak melihat seorang remaja ingin menyertai pasukan mereka mencuba mengguna senjata di Benghazi semalam.

PBB mahu pemberontak, penyokong setia Gaddafi elak berbalas dendam

TRIPOLI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak pemberontak dan kumpulan yang setia kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, supaya berhenti bertempur berikutan laporan bahawa kedua-dua pihak melakukan keganasan.
Jurucakap hak asasi manusia PBB, Rupert Colville, berkata, sukar untuk mengesahkan laporan mengenai pembunuhan dan penderaan tetapi menegaskan kejadian itu akan disiasat oleh Suruhanjaya Inkuiri mengenai Libya.
“Kami menggesa semua pihak di Libya termasuk panglima perang, mengambil langkah aktif untuk memastikan tiada jenayah dan perbuatan balas dendam dilakukan,” katanya.

PBB, sebelum ini berkata sebahagian tindakan ketenteraan di Libya boleh dikategorikan sebagai jenayah perang atau jenayah kemanusiaan.

Mayat pemberontak yang kelihatan seperti dihukum mati di perkarangan ibu pejabat Gaddafi tiba di hospital di Tripoli manakala krew Sky News kelmarin menemui mayat tentera Gaddafi dengan tangan terikat.

Sementara itu, lebih 1,000 pemberontak mengepung blok pangsapuri berhampiran ibu pejabat Muammar Gaddafi itu selepas ada laporan menyatakan bahawa bekas pemimpin Libya itu bersembunyi di bangunan berkenaan bersama anaknya.
Laporan juga menyebut pemberontak cuma menanti masa menangkap Gaddafi di sebuah lagi tempat di Tripoli yang dipercayai menjadikan tempat beliau bermalam.

Bekas pemimpin Libya itu juga muncul di televisyen menyeru saki baki penyokongnya ‘membersihkan’ ibu kota itu daripada ‘tikus’ manakala jurucakapnya menegaskan Gaddafi, 69, masih selamat, sihat dan mengetuai pasukan mendapatkan kebebasan.

Harapan untuk menangkap Gaddafi memuncak apabila pemberontak yakin beliau dan anaknya bersembunyi di dalam blok pangsapuri tidak jauh dari ibu pejabatnya di Bab al-Aziziya.

“Mereka ada bersama. Hari ini kami akan menamatkan semuanya,” kata salah seorang pemberontak, Mouhammed Gomaa.

Dalam masa beberapa jam, kira-kira 1,000 pemberontak mengepung bangunan itu dan berbalas tembak dengan penyokong Gaddafi walaupun tiada bukti kukuh bekas pemimpin itu bersembunyi di dalam bersama keluarganya.

Bagaimanapun, agensi perisikan Britain, MI6 dan Pentagon, yang menggunakan pesawat pengintip untuk memintas komunikasi, menegaskan Gaddafi masih berada di Tripoli.

“Semua petunjuk mengesahkan beliau masih berada di Tripoli,” kata sumber Pentagon. – Agensi 

No comments: