MAYAT beberapa lelaki yang terbunuh dalam pertempuran di luar Bab al-Aziziya, kompleks kediaman Gaddafi di Tripoli, semalam. |
SABRATHA: Pemberontak semalam bersiap sedia untuk apa yang mereka jangka pertempuran sengit terakhir di barat Libya, memecahkan kepungan tentera Gaddafi di bandar Zuwarah dan membuka laluan Tripoli-Tunisia.
“Insya-Allah kami akan menamatkannya secepat mungkin,” kata Anwar Elmeshri pemerintah pemberontak yang bertanggungjawab terhadap operasi itu.
Persiapan melancarkan serangan terhadap Zuwarah, sebuah bandar Berber yang terletak kira-kira 30 kilometer ke timur sempadan Tunisia di lakukan sejak Rabu lalu.
Mereka menawan bandar itu hujung minggu lalu tetapi kini dikepung oleh tentera yang setia kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Jika berjaya, kumpulan itu berada dalam kedudukan baik untuk melancarkan serangan terhadap pos sempadan Ras Jdir yang masih dikuasai tentera Gaddafi dan juga menjadi laluan untuk membolehkan bekas pemimpin itu meninggalkan Libya.
Ketika ini, Zuwarah masih berada dalam jarak serangan roket dari kubu Gaddafi lain, Zeltyen di barat, Al-Jamil di selatan dan Al-Ajilat di barat daya. Jalan raya sejauh 40 kilometer yang menghubungkan Zuwarah dengan Sabratha di timur juga masih tidak selamat sepenuhnya.
“Pejuang di Zuwarah merayu rakan mereka di Zintan dan wilayah lain supaya menghantar pasukan tambahan,” kata Abdu Salem, penyelaras tentera pemberontak di Zintan, bandar di tenggara Zuwarah.
Pemerintah pemberontak di Sabratha, Bilal Mansur berkata, pasukan tambahan sudah bersiap sedia untuk melancarkan serangan terhadap tentera Gaddafi tetapi jumlahnya masih terhad kerana ramai pejuang berada di Tripoli dalam usaha menamatkan tentangan daripada penyokong pemimpin itu.
Dalam pada itu, hospital di Zawiyah dilapor turut bersiap sedia untuk menerima mangsa peperangan yang cedera apabila pertempuran bermula, kata Abdullatef Gadi, anggota majlis tempatan yang ditubuhkan selepas bandar yang terletak 60 kilometer ke timur Zuwarah itu di bebaskan Sabtu lalu.
Seorang penduduk, Ali Mussa berkata, penduduk Zuwarah kini menanti ketibaan pasukan tambahan. Zuwarah bertukar tangan lebih daripada sekali sejak pemberontakan bermula pertengahan Februari lalu.
Ia antara bandar pertama yang bangkit menentang Gaddafi apabila pemberontakan bermula dan dijangka yang terakhir ‘dibebaskan.’ - AFP
No comments:
Post a Comment