Pages

Saturday, August 27, 2011

Rogol di pusat karaoke

AYER KEROH - Seorang pelajar sekolah menengah kebangsaan agama di Bukit Lintang, dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana merogol seorang remaja di bawah umur sebanyak dua kali, Jun lalu.

Remaja berusia 17 tahun dan menetap di Merlimau itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muzila Mohamed Arsad.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia telah merogol seorang perempuan berusia 15 tahun 6 bulan di sebuah pusat karaoke di Dataran Pahlawan Melaka Megamall kira-kira jam 3 petang pada 15 Jun 2011.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh merogol mangsa yang sama di pusat karaoke di kompleks beli-belah Mahkota Prade kira-kira jam 11.40 pagi pada hujung Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Muhather Mohd Kudus yang mengendalikan kes berkenaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh memohon wang :jaminan dikurangkan kerana dia berasal daripada keluarga yang susah dan mempunyai adik-beradik ramai, selain masih perlu lagi hadir ke sekolah.

Muzila kemudian membenarkan jaminan RM3,000 diberikan terhadap tertuduh dan turut menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan kes bagi mendengar laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan pada hari yang sama.

No comments: