Pages

Saturday, August 27, 2011

Pemberontak isytihar kabinet




SEORANG lelaki Afrika yang disyaki tentera upahan terbaring setelah mengalami kecederaan dalam pertempuran dengan tentera pemberontak anti-Gaddafi di sebuah balai bomba di daerah Abu Salim di Tripoli, kelmarin. – REUTERS


TRIPOLI 26 Ogos - Pemberontak Libya mengumumkan pemindahan pusat pentadbiran kepimpinan ke Tripoli dari kubu mereka di Benghazi, kata pegawai kanan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) hari ini.
Naib Pengerusi NTC, Ali Tarhuni berkata, jawatankuasa eksekutif akan mula bertugas di Tripoli.
‘‘Hidup demokrasi dan Perlembagaan Libya serta mereka yang maut dalam usaha mencapai kejayaan ini,’’ katanya pada sidang media semalam.
Ali yang menjawat portfolio Menteri Minyak dan Ekonomi dalam pentadbiran wilayah, turut dinamakan sebagai individu untuk memegang beberapa portfolio utama dalam Kabinet peralihan merangkumi Menteri Dalam Negeri, Menteri Informasi dan Menteri Infrastruktur dan ketua keselamatan di Tripoli.
Beliau menambah, Pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil dan ketua jawatankuasa eksekutif, Mahmud Jibril akan tiba di Tripoli apabila situasi keselamatan membenarkan.
Bagaimanapun, Ali tidak mengisytiharkan penggulingan rejim Muammar Gaddafi.
Beliau berkata, pengumuman tersebut akan dibuat oleh Mustafa atau Mahmud.
Beliau berkata, kegagalan menahan Gaddafi tidak akan menghalang pihaknya menguruskan Libya yang baru.
“Kami kini bebas. Kami boleh pergi ke mana sahaja. Beliau (Gaddafi) yang kini bersembunyi dan kami akan menangkapnya,” ujarnya.
Beliau turut meminta tentera yang setia kepada Gaddafi untuk melucutkan senjata mereka.
Sementara itu, walaupun rejimnya hampir dimusnahkan, Gaddafi cuba menyatukan penyokongnya untuk terus menggempur pemberontak.
‘‘Jangan meninggalkan Tripoli kerana tikus-tikus ini. Gempur dan bunuh mereka,’’ katanya dalam satu mesej audio yang disiarkan di stesen satelit Syria, Al-Ouroba TV.
Sejak menggempur Tripoli Ahad lalu, pemberontak masih berusaha menguasai keseluruhan ibu negara Libya itu.
Selasa lalu, mereka menggempur kediaman Gaddafi di Bab al-Aziziya dan kini daerah Abu Salim. – AFP

No comments: