Pages

Saturday, August 27, 2011

Tangisan bayi dalam kotak

SEGAMAT: Seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk bersahur terkejut apabila terdengar tangisan sebelum menemui seorang bayi perempuan masih bertali pusat di dalam kotak di depan sebuah pasar raya di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Mohammad Taufik Kamaruddin, 21, dari Felda Selancar sedang memandu kereta apabila terdengar suara tangisan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Anuar Ismail berkata cuaca dingin menyebabkan Taufik menurunkan tingkap di sebelah pemandu dan tidak memasang pendingin udara kereta itu.

“Setibanya di lokasi kejadian, Taufik yang memandu perlahan terdengar tangisan bayi lalu memberhentikan keretanya.

“Dia terlihat sebuah kotak di depan pasar raya berkenaan sebelum mendapati ada bayi perempuan di dalamnya yang masih bertali pusat selain tidak berpakaian,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Menurut Anuar, Taufik membawa bayi berkenaan pulang ke kediamannya untuk dibersihkan dan dipakaikan baju.


Anuar berkata, Taufik tidak menghantar terus bayi ke hospital atau membuat laporan polis kerana bimbang dituduh membuang bayi berkenaan sebaliknya dia pergi ke IPD Segamat bersama bayi berkenaan untuk membuat laporan polis pada jam 7 pagi.

“Siasatan awal mendapati bayi berkulit sawo matang itu dipercayai Melayu dan seberat 2.7 kilogram,” katanya. Bayi itu disahkan dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di Hospital Segamat untuk rawatan susulan. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan polis selepas dua jam terbabit dalam samun bersenjata.

Sebelum itu, pada jam 1.45 pagi, seorang lelaki berusia 41 tahun membuat laporan polis mengatakan dia diacukan pisau di mukanya oleh seorang remaja di Jalan Tengku Ahmad dan diarah menyerahkan beg tangan mengandungi wang tunai RM47, rantai leher perak, kad pengenalan, lesen memandu dan telefon bimbit jenama Nokia.

Suspek yang berasal dari Perak itu ditahan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.hmetro

No comments: