Pages

Thursday, August 4, 2011

Bau busuk bawa penemuan mayat
AMPANG: Tanda tanya bau busuk yang dihidu penduduk Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, di sini, sejak Sabtu lalu terjawab selepas penemuan beberapa anggota badan manusia yang dikerat lebih 15 bahagian, petang semalam.
Penemuan mayat seorang lelaki oleh penduduk yang memeriksa sebuah kediaman di blok berkenaan yang tidak berpenghuni sejak 10 tahun lalu itu selepas tidak tahan dengan bau busuk.
Seorang penduduk Shahril Abdul Rahman, 30, yang tinggal selang satu rumah dari kediaman itu mendakwa kira-kira jam 2 petang semalam mereka menemui sebelah kaki kiri yang disangkakan kaki patung.

Bagaimanapun, katanya selepas berulang kali diamati kaki berkenaan, mereka dapati kaki terbabit ialah kaki kiri manusia dan penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis.

“Pada jam 5.45 petang sepasukan polis dengan dibantu Unit Patalogis Hospital Ampang menemui lagi organ manusia seperti usus dan perut dalam mangkuk tandas di tempat sama kaki ditemui," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata hasil pemeriksaan lanjut pihak polis menemui bahagian lain tubuh manusia yang sudah dipotong di atas siling bilik air sama.
“Bahagian lain tubuh mangsa itu dipercayai dipotong dengan objek tajam sebelum dibungkus dengan plastik,” katanya di tempat kejadian, malam tadi.

Beliau berkata, polis ma-sih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti identiti mangsa yang dipercayai dibunuh kurang dari seminggu.

“Polis percaya suspek tinggal di sekitar pangsapuri berkenaan dengan menjadikan unit kediaman itu sebagai tempat melepaskan ketagihan minuman keras.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Polis Selangor di talian 03-20529999 bagi membantu siasatan.bharian

No comments: